PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong bakal tampil berbeza dan lebih bertenaga pada kejohanan badminton Terbuka Malaysia di Bukit Jalil minggu depan.
Jurulatihnya, Hendrawan mendedahkan pemain muda itu mendapat sentuhan bekas jurulatih fizikal Datuk Lee Chong Wei, Mohd Rosdi Abd Ghani bagi memantapkan fizikal dan kondisi badannya.
“Selama ini kita kurang fokus kepada kecergasan jadi tempoh sebulan (tanpa kejohanan) kita lebih tumpu kepada perkara itu dan tengok nanti bagaimana pada Terbuka Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Jumaat.
Hendrawan menjelaskan proses untuk meningkatkan tahap kecergasan Tze Yong perlu mengambil masa panjang dan diharapkan tahap fizikal pemain ranking ke-15 dunia itu akan lebih baik pada kejohanan tersebut.



