Tze Yong dijangka kembali jalani latihan penuh

Tze Yong dijangka kembali jalani latihan penuh

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong dijangka kembali menjalani latihan penuh tidak lama lagi selepas mengharungi proses pemulihan yang panjang susulan kecederaan lutut dialaminya ketika di Masters Malaysia, Mei tahun lalu.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen bagaimanapun berkata, keputusan untuk membenarkan Tze Yong menyertai latihan harian sepenuhnya masih bergantung kepada beberapa ujian perubatan terakhir yang perlu dilalui pemain itu.

“Perkembangannya masih bergantung kepada ujian yang perlu dijalani. Apabila keputusan ujian itu positif, barulah kami boleh melangkah ke fasa seterusnya.

“Kami perlu mendengar pandangan pakar mengenai keupayaannya, namun saya menjangkakan dia tidak lama lagi mampu menjalani latihan harian di sini. Itu perkembangan semasa yang kami lihat,” kata Jonassen ketika ditemui di ABM, hari ini.

Pada Mei tahun lalu, Tze Yong mengalami kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL) ketika beraksi di pusingan pertama Masters Malaysia sebelum terpaksa menjalani pembedahan lutut di Qatar pada Julai lalu.

Sementara itu, Jonassen berkata, Tze Yong memberikan komitmen tinggi sepanjang tempoh pemulihan apabila menjalani latihan kemahiran secara konsisten sejak dua hingga tiga bulan lalu.

“Dia sudah melakukan kerja yang sangat luar biasa. Dia menjalani banyak sesi kemahiran di sini, tetapi langkah seterusnya ialah latihan berterusan setiap hari.

“Itulah ujian sebenar, iaitu bagaimana tubuh dan lututnya memberi reaksi terhadap latihan dari hari ke hari serta keupayaannya untuk pulih,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top