U Mobile lancar ULTRA5G, dikuasakan teknologi rangkaian pintar dan bertaraf perusahaan

U Mobile lancar ULTRA5G, dikuasakan teknologi rangkaian pintar dan bertaraf perusahaan

U MOBILE melakar sejarah dengan pelancaran ULTRA5G, jenama baharu bagi pengalaman 5G generasi terkini yang dikuasakan oleh teknologi rangkaian pintar dan bertaraf perusahaan.

Majlis pelancaran berlangsung di Berjaya Times Square (BTS) yang juga menempatkan ibu pejabat telco tersebut sekali gus menjadikan pusat beli-belah berkenaan yang pertama di Malaysia dilengkapi sepenuhnya dengan liputan 5G.

Ketua Pegawai Teknologi U Mobile, Woon Ooi Yuen berkata, pelancaran ULTRA5G menegaskan komitmen syarikat untuk menyediakan rangkaian 5G dengan kelajuan ultra-pantas, keterhubungan ultra mantap dan liputan ultra luas di seluruh negara.

“Sebagai penyedia rangkaian 5G terbaharu negara, U Mobile fokus untuk memacu transformasi digital bagi pengguna dan juga perniagaan.

“ULTRA5G menawarkan pengalaman digital yang dipertingkat daripada penstriman ultra mantap dan permainan video imersif sehinggalah kepada panggilan video berkualiti tinggi di kawasan sesak.

“Bagi sektor perusahaan, ULTRA5G membuka peluang kepada penggunaan aplikasi maju seperti XR, robotik, bandar pintar dan automasi IR 4.0. Dengan pelaksanaan yang mendahului jadual, U Mobile turut menggandakan usaha liputan dalaman bagi memastikan pengalaman 5G yang terluas dan menyeluruh di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Menariknya, bagi menyerlahkan keupayaan rangkaian pengalaman ULTRA5G, U Mobile mempersembahkan beberapa demonstrasi termasuk penstriman langsung 4K yang pertama di Malaysia bagi roller coaster sepanjang 800 meter di Taman Tema Berjaya Times Square, iaitu roller coaster dalaman terpanjang di Asia Pasifik dengan pelbagai putaran terbalik yang berlangsung kira-kira dua minit setengah setiap sesi.

Penstriman langsung itu direka khas untuk menunjukkan kedalaman dan konsistensi liputan ULTRA5G yang berjaya meliputi seluruh bangunan serta mengekalkan sambungan yang lancar dan stabil, walaupun roller coaster mencapai kelajuan sehingga 70 km/j.

Selain penstriman langsung, bagi memaparkan keupayaan rangkaian pengalaman ULTRA5G, telco tersebut turut mengadakan pengalaman realiti gabungan (mixed-reality) yang imersif dan demonstrasi pemisahan rangkaian (network slicing), mempamerkan perbezaan perkhidmatan serta prestasi ultra mantap.

Lebih membanggakan, liputan rangkaian 5G telco tersebut turut tersedia di Jambatan Pulau Pinang 1, menghubungkan keseluruhan jarak jambatan dengan hanya dua menara, seterusnya menyediakan pengalaman sambungan yang lancar kepada pengguna harian.

Menurut U Mobile, pelancaran ini menandakan pemulaan rangkaian 5G generasi baharu U Mobile yang kini beroperasi dengan sasaran pelaksanaan untuk mencapai 80 peratus Liputan Kawasan Berpenduduk (CoPA) pada separuh kedua tahun 2026.

U Mobile turut berhasrat menyediakan kemas kini berkala mengenai ketersediaan ULTRA5G, dengan pelaksanaan rangkaian yang pesat dijangka merangkumi lokasi strategik seperti lapangan terbang, hospital, pusat konvensyen, serta kawasan dalam dan luar bangunan berimpak tinggi di seluruh negara.

Usaha ini sejajar dengan komitmen syarikat untuk menyediakan rangkaian terluas dan menyeluruh di Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai ULTRA5G, sila layari: www.u.com.my

Scroll to Top