latifah@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Sesi kuliah di semua universiti awam (UA) tetap diteruskan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 menerusi pelbagai pelan alternatif dalam memastikan kelancaran pembelajaran secara dalam talian sepenuhnya.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Roziah Mohd Janor, berkata sekatan pergerakan penuh kali ini sudah dijangka dan pihak universiti menyediakan pelbagai inisiatif, termasuk mengingatkan mahasiswa dan pensyarah supaya bersedia.
“Sepanjang PKP 3.0, semua pelajar mengikuti pembelajaran secara Pendidikan Jarak Jauh dan Terbuka (ODL) tanpa mengira lokasi, termasuk yang berada di kampus.
“Sehingga kini, cuma enam peratus atau 9,362 pelajar berada di kampus seluruh negara dan akan turut mengikuti kuliah secara ODL,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Selain mengeluarkan makluman menerusi pekeliling di laman rasmi media sosial universiti, beliau berkata, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) turut memastikan maklumat sampai kepada golongan sasar.
“Buat masa ini, pelajar dinasihatkan meneruskan pengajian dengan tenang dan meletakkan fokus kepada hasil pembelajaran yang perlu dicapai semester ini.
“Pihak universiti turut merangka beberapa pendekatan alternatif termasuk memperuntukkan beberapa minggu pada Ogos dan September depan bagi mereka yang benar-benar memerlukan sesi pembelajaran secara bersemuka.
“Bagaimanapun, keadaan ini tertakluk kepada suasana perintah pergerakan pada waktu berkenaan,” katanya.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Aldrin Abdullah, berkata corak pengajian yang dilaksanakan pada PKP pertama dipraktikkan dalam tempoh 14 hari PKP 3.0 ini.
“USM memulakan sesi pengajian minggu ini, iaitu 10 hari selepas proses pengasingan pelajar berakhir.
“Hampir 6,000 pelajar USM yang berada di ketiga-tiga kampus ketika ini akan mengikuti pembelajaran dalam talian manakala selebihnya berada di rumah dan mengikuti kaedah sama,” katanya kepada BH.
Katanya, USM turut mengeluarkan garis panduan berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh 14 hari penguatkuasaaan PKP 3.0.
Beliau menegaskan, garis panduan itu selari dengan SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Di Universiti Putra Malaysia (UPM), seramai 3,703 pelajar berada di dua kampus ketika ini, iaitu 3,377 mahasiswa di kolej kediaman kampus UPM Serdang dan 326 orang di kampus Bintulu, Sarawak selepas sesi pengajian semester kedua sesi 2020/2021 dibuka semula pada 17 Mei lalu.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, Prof Dr Arifin Abdu, berkata antara perkara utama ditekankan sepanjang tempoh PKP 3.0 ialah SOP dan pergerakan keluar masuk, terutama mereka yang berada di kampus.
“Semua pelajar yang menginap di kolej kediaman tidak dibenarkan keluar dari zon kolej kediaman sepanjang tempoh PKP 3.0 kecuali bagi kes kecemasan.
“Serentak dengan itu, permohonan kemasukan pelajar ke kolej kediaman atau pulang ke kediaman masing-masing ditangguhkan.
“Pelajar yang mendapat tarikh janji temu penerimaan vaksin perlu berhubung dengan Pusat Kesihatan Universiti (PKU) terlebih dahulu untuk semakan tahap kesihatan.
“Mereka perlu ke pusat pemberian vaksin (PPV) menggunakan kenderaan universiti yang diuruskan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
