SKUAD Harimau Malaya tewas 4-0 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Zabeel, Dubai, sebentar tadi.
Dua gol masing-masing menerusi Ali Mabkbout dan Fabio Lima berjaya membantu meraih kemenangan UAE.
Setelah hampir enam tahun, pasukan negara kembali semula ke UAE buat pertama kali selepas Malaysia mengalami kekalahan besar 0-10 kepada skuad tuan rumah dalam kempen kelayakan lepas di Stadium Mohammed Bin Zayed, Abu Dhabi, pada September 2015.
Skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe kini berada di kedudukan kedua Kumpulan G selepas mengutip sembilan mata, dibezakan dua mata di belakang pendahulu Vietnam, sementara Thailand ketiga (lapan mata), diikuti UAE keempat (enam mata) dan Indonesia tercorot tanpa sebarang mata.
Malaysia yang perlu menjuarai Kumpulan G untuk layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023 akan menamatkan baki saingan kumpulan berdepan Vietnam dan Thailand masing-masing pada 11 dan 15 Jun di Dubai.