Sunderland: Roberto De Zerbi menegaskan mengubah mentaliti pemain Tottenham Hotspur dan bukan gaya permainan adalah kunci untuk mengelakkan penyingkiran selepas perlawanan pertamanya berakhir dengan kekalahan 0-1 kepada Sunderland, semalam.
Kekalahan itu memanjangkan rekod tanpa kemenangan Tottenham kepada 14 perlawanan Liga Perdana dan meletakkan mereka di tangga ke-18, sekali gus berdepan risiko besar tersingkir buat kali pertama sejak 1977.
De Zerbi yang dilantik menggantikan Igor Tudor yang hanya bertahan 44 hari selepas mengambil alih daripada Thomas Frank mendapat gambaran awal pasukannya dalam aksi di Stadium of Light.
Walaupun melihat semangat juang, jurulatih dari Itali itu mengakui masih banyak perlu diperbaiki, dengan hanya enam perlawanan berbaki untuk menyelamatkan kelab London itu daripada jatuh ke divisyen kedua.
“Tugas saya sekarang bukan untuk ubah gaya permainan. Saya buat dua tiga perkara dengan bola, dua tiga perkara tanpa bola, tetapi perkara paling penting bukan itu. Ia tentang mentaliti untuk kekal positif,” katanya.
“Kami perlu cari tenaga dan semangat yang betul. Bila mereka bersama saya sepanjang minggu, mereka akan jumpa jurulatih yang positif kerana saya percaya kepada mereka. Mereka manusia dan mungkin sedang terlalu tertekan.
“Kami perlu kekal bersatu, rapat, dan perbaiki perincian dalam permainan, tetapi yang paling penting ialah memperbaiki mentaliti.”
De Zerbi juga mengakui masa untuk perubahan besar dalam struktur pasukan sudah semakin suntuk.
Selepas 32 perlawanan, Tottenham mengumpul 30 mata dan kini dua mata di belakang West Ham United di tangga ke-17. Mereka hanya meraih satu mata daripada 24 mata terakhir, dan peluang untuk kekal di Liga Perdana dilihat semakin tipis jika prestasi ini berterusan.
Perlawanan seterusnya ialah menentang bekas kelab De Zerbi, Brighton & Hove Albion, hujung minggu depan.
Namun, mereka mungkin kehilangan kapten Cristian Romero yang keluar padang dalam keadaan menangis selepas bertembung dengan penjaga gol Spurs, Antonin Kinsky, sejurus selepas jaringan Nordi Mukiele memberikan Sunderland gol kemenangan.
“Saya harap ia bukan kecederaan serius kerana dia pemain penting untuk kami. Seorang yang baik, pemain hebat, personaliti besar dan kami perlukan dia untuk menghabiskan musim ini serta mencapai sasaran kami,” kata De Zerbi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




