Ubai idam penampilan sulung bersama skuad Harimau Malaya

Ubai idam penampilan sulung bersama skuad Harimau Malaya

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Pemain pertahanan serba boleh Terengganu FC (TFC), Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili menzahirkan perasaan terharu selepas terpilih dalam latihan pusat skuad senior negara.

Malah, lebih manis katanya, panggilan itu adalah kali pertama sepanjang kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.

Bagaimanapun, pemain berusia 21 tahun kelahiran Kelantan itu sedar bukan tugas mudah untuknya ‘mengetuk’ pintu skuad Harimau Malaya itu, lebih-lebih lagi dia masih mentah daripada segi pengalaman.

“Sejujurnya saya amat terharu dan terlalu gembira dengan peluang yang diberikan, ini atas berkat doa ibu bapa dan keluarga saya.

“Pada masa sama saya ucapkan terima kasih kepada barisan pengurusan dan kejurulatihan TFC serta rakan sepasukan yang banyak membantu merealisasikan impian saya untuk menyarung jersi skuad kebangsaan.

“Lebih manis panggilan ini adalah yang pertama selepas sebelum ini diberi peluang membarisi skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara,” ujar pemain yang lebih mesra dipanggil ‘Ubai’ itu.

Mengulas lanjut, pemain yang membantu skuad B-22 negara muncul juara Piala Merlion, tahun lalu itu mengakui dia belum puas jika tidak dapat memperagakan aksi bersama pasukan kebangsaan.

“Terpilih dalam latihan skuad negara sudah cukup menggembirakan saya, tapi lebih puas jika dapat membuat penampilan pertama di pentas antarabangsa bersama skuad senior negara.

“Saya harapkan impian itu menjadi kenyataan, namun saya menyerahkan kepada barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya untuk menentukannya,” ujarnya.

Terdahulu peningkatan permainan bersama TFC menyaksikan bakat Ubai dihidu jurulatih negara, Pau Marti Vincete untuk menyertai kem latihan skuad kebangsaan bermula Ahad ini.

Turut disenaraikan empat lagi pemain TFC iaitu Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Azam Azmi Murad dan Safwan Mazlan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top