Ubaidullah mahu terus tawan hati Nafuzi

Ubaidullah mahu terus tawan hati Nafuzi

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tonggak berpengalaman bawah 23 (B-23) tahun negara, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili tidak menganggap tempatnya dalam kesebelasan utama sudah terjamin.

Sebaliknya, pemain pertahanan kental itu mengakui dia juga terpaksa berhempas pulas mencuri perhatian pengendali pasukan, Nafuzi Zain.

Katanya, tiada istilah ‘anak emas’ termasuk pemain berpengalaman seperti dirinya.

“Pengalaman yang ada sangat berharga, selain memiliki kualiti yang bagus.

“Untuk menjadi seorang pemain, tidak seharusnya memikirkan tentang keselesaan dan saya tetap akan merebut tempat dalam kesebelasan utama,” katanya.

Skuad B-23 ketika ini dalam fasa persiapan terakhir sebelum terbang ke Jakarta, Indonesia bagi menyertai saingan Piala AFF B-23 yang dijadual berlangsung dari 15 Julai hingga 29 Julai ini.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Indonesia, Filipina dan Brunei di mana hanya tiga juara kumpulan dan satu naib juara terbaik akan mara ke separuh akhir.

Ditanya mengenai skuad kali ini, Ubaidullah yang beraksi untuk Terengganu FC akui pasukan kali ini dibarisi ramai muka baharu dan kurang dikenali.

“Memang ada perbezaan besar berbanding skuad sebelum ini yang dibarisi ramai nama besar. Tapi bagi saya, itu bukan masalah.

“Kami mungkin belum dikenali, tapi semangat kami tetap tinggi. Kami mahu buktikan kemampuan dan berharap dapat menutup mulut pengkritik menerusi keputusan di atas padang, Insya-Allah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top