mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pertahanan muda negara, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili menegaskan kelewatan melapor diri ke kem latihan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara bukan masalah besar.
Sebaliknya dia yakin masih berada pada tahap terbaik menjelang kelayakan Piala Asia B-23 di Bangkok, awal bulan depan.
Menurutnya, walaupun hadir lewat, ia bukan alasan untuk menjejaskan fokus kerana sepanjang tempoh itu dia masih beraksi bersama pasukan Terengganu FC (TFC) dalam saingan Liga Super.
“Bagi saya tak ada masalah pun. Walaupun saya lapor diri lambat, musim (liga) masih berjalan dan saya bermain beberapa perlawanan di Liga Super.
“Situasi itu membantu kekuatan saya sebelum turun ke pentas antarabangsa,” katanya yang baru menyertai kem latihan skuad negara di Bangkok, semalam.
Sebelum ini, Ubaidullah yang juga tonggak TFC bersama Fergus Tierney (Sabah) dan Aliff Izwan Yuslan (Selangor) tidak dapat menyertai pasukan lebih awal kerana kem latihan bermula lebih awal daripada kalendar rasmi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Selain itu, pemain berusia 21 tahun itu menganggap panggilan menyertai skuad kebangsaan adalah satu penghormatan besar yang tidak boleh dipersiakan, biarpun hanya sempat menjalani latihan singkat sebelum ke kejohanan.
“Biasalah, panggilan skuad kebangsaan memang macam itu. Dua tiga hari latihan terus ke kejohanan.
“Saya sahut cabaran ini dan insya-Allah cuba beri yang terbaik,” jelasnya.
Dia mengakui sentiasa dalam keadaan bersedia untuk diturunkan, lebih-lebih lagi apabila mendapat kepercayaan barisan kejurulatihan.
“Alhamdulillah masih lagi diberi peluang dan kepercayaan oleh jurulatih. Saya sentiasa bersedia untuk sebarang perlawanan,” katanya penuh tekad.
Mengulas pencapaian di Piala AFF B-23 di Jakarta, bulan lalu, Ubaidullah tidak menafikan keputusan mengecewakan itu memberi tamparan, namun menegaskan skuad muda negara kini sudah melupakan episod berkenaan.
“Kita kena ambil kekalahan itu sebagai pengajaran. Semua pemain tahu objektif kita di Bangkok.
“Kita kena bangkit dan usaha habis-habisan untuk layak ke Piala Asia,” katanya.
Skuad bimbingan Nafuzi Zain kini memasuki fasa persiapan terakhir menjelang aksi kelayakan Piala Asia dengan misi mengulangi sejarah mara ke pusingan akhir.
Malaysia bakal membuka tirai kempen kelayakan menentang Lubnan pada 3 September, disusuli aksi bertemu Mongolia (6 September) sebelum berdepan cabaran getir berdepan Thailand pada 9 September.
© New Straits Times Press (M) Bhd