Ubat tiada kelulusan dan jual pakaian tiruan lebih RM300,000, 2 lelaki warga asing ditahan

Ubat tiada kelulusan dan jual pakaian tiruan lebih RM300,000, 2 lelaki warga asing ditahan

mhafis@mediaprima.com.my

Kajang: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan dua lelaki warga asing dalam serbuan berasingan membabitkan ubat tiada kelulusan dan penjualan pakaian tiruan dengan nilai rampasan RM309,866 semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Jafri Muhamad berkata, bertindak atas maklumat risikan Op Taring Alfa 5 dan Op Taring Dosej, Batalion 4 PGA Semenyih bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kajang dan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kajang melakukan dua serbuan di lokasi berasingan sekitar Jalan Cheras, Kajang.

Menurutnya, serbuan pertama, pihak polis menahan lelaki warganegara Indonesia berusia 29 tahun dan hasil pemeriksaan ke atas premis merampas sejumlah 21,962 ubat-ubatan dipercayai tidak mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM107,616.

“Manakala dalam serbuan kedua, polis menahan lelaki warganegara Pakistan berusia 26 tahun dan berjaya merampas sejumlah 2,535 helai pakaian pelbagai jenama yang dipercayai tiruan dan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM 202,250.00.

“Hasil nilai rampasan bagi kedua-dua serbuan dianggarkan bernilai RM 309,866 di mana tangkapan dibawa ke IPD Kajang dan rampasan diserahkan kepada KPDN Kajang serta Penguatkuasa Bahagian Farmasi Negeri Selangor untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Imigresen 1959/63.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top