'Ubi muda' tak cukup makan ke?

'Ubi muda' tak cukup makan ke?

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Apa sudah jadi dengan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) khususnya pemain elit yang ditempatkan di Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD) ketika ini?

Adakah NFDP dan AMD benar-benar ‘kilang’ terbaik dalam melahirkan pemain berkualiti buat negara?

Persoalan itu timbul susulan kegagalan terbaharu skuad bawah 17 (B-17) tahun negara di Kelayakan Piala Asia B-17 di mana pasukan kebangsaan itu gagal layak secara merit ke Piala Asia tahun depan.

Malah paling ‘memalukan’ sudah tentunya keputusan seri 2-2 yang diraih menentang Laos sekali gus menimpulkan 1,000 persoalan mengenai kewujudan AMD, yang sebenarnya menerima jutaan ringgit setahun daripada kerajaan.

Untuk rekod, hampir ratusan ribu dibelanjakan sejak NFDP dan AMD dilancarkan pada 2014 lalu termasuk pembinaan pusat latihan berprestasi tinggi yang ada di Gambang, Pahang.

Bagi pemerhati bola sepak tanahair, Datuk Dr Pekan Ramli, sudah tiba sistem pengurusan AMD dinilai semula bagi memastikan program berkenaan berada di landasan yang betul.

Katanya, empat aspek dikesan menjadi punca permasalahan kemerosotan prestasi pemain iaitu kredibiliti jurulatih, pendedahan perlawanan di luar negara, aspek sains pemakanan dan faktor kognitif mental pemain.

“Saya tak setuju kalau nak tutup AMD sebab jika tutup, program pembangunan apa yang kita ada sekarang ini?. Cuba bagi tahu saya ada ke program seperti itu sekarang.

“Apa yang kita kena buat, adalah melihat kembali empat perkara terutamanya kualiti jurulatih yang ada di AMD. Benarkah mereka ini betul-betul jurulatih yang berkualiti untuk membentuk pemain yang ada kualiti.

“Pemain yang terpilih ke AMD semuanya adalah yang terbaik di negara kita, memang mereka yang terbaik sahaja boleh masuk. Jadi persoalannya, adakah jurulatih sekarang yang ada betul-betul berkualiti.

“Selepas ketiadaan (Datuk) Lim Teong Kim dan jurulatih luar negara yang beliau bawa, kita tahu bajet untuk membayar jurulatih yang bagus dikecilkan. Jadi dah tentu bila gaji kecil, mana ada jurulatih yang bagus nak datang melatih pemain-pemain di AMD.

“Kemudian pula kita tengok macam mana pendedahan di luar negara. Kelompok pemain ini perlu kerap didedahkan dengan aksi di luar negara bagi mematangkan mereka…mungkin sekarang ada hantar juga, tapi adakah ia pertandingan yang betul-betul berkualiti atau sekadar perlawanan biasa sahaja.

“Begitu juga dengan aspek sains pemakanan. Bila saya tengok pemain AMD yang dah tingkatan lima, susuk tubuh mereka Nampak kurus kering sahaja. Situasi itu tak sama dengan pemain Jepun atau Korea Selatan yang nampak lebih besar dan otot yang kuat. Jadi adakah aspek pemakanan dari sains sukan di AMD ditekankan.

“Akhir sekali tahap kognitif mental pemain juga perlu dititik beratkan. Jadi saya fikir, dengan jutaan ringgit yang dilaburkan kita sepatutnya boleh lahirkan pasukan yang kuat dan konsisten layak ke Piala Asia,” katanya.

NFDP adalah inisiatif kerajaan untuk melahirkan kelompok besar pemain muda yang berkualiti tinggi dengan sasaran 50,000 pemain dilatih di seluruh negara, manakala kelompok pemain terbaik diletakkan di AMD sebagai kelompok elit bagi mengasah lagi potensi.

Sasaran paling utama adalah layak secara konsisten di Piala Dunia remaja sama ada Piala Dunia B-17 atau Piala Dunia B-20 serta ‘mengeksport’ pemain muda beraksi di Eropah atau sekitar Asia.

Bagaimanapun selepas sedekad berlalu, pasukan kebangsaan B-17 mahupun B-20 masih gagal layak ke Piala Dunia, malah dalam tempoh panjang itu hanya seorang iaitu Luqman Hakim Shamsudin yang beraksi di Eropah bersama kelab Belgium, KV Kortrijk.

Selebihnya pemain seperti bintang JDT, Arif Aiman Hanapi, tonggak pertahanan Selangor, Harith Haiqal, penjaga gol Penang FC, Sikh Izhan Nazrel dan ramai lagi hanya beraksi di Liga Malaysia (Liga M) ketika ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top