Paris: Pemain Marseille menerima padah apabila digantung daripada beraksi hanya kerana mengucapkan selamat hari lahir kepada rakan sepasukan di media sosial.
Ucapan Rayan Hassad yang berusia 18 tahun kepada bekas pemain Newcastle dan pertahanan Porto Chancel Mbemba di Instagramnya tampak tiada masalah atau mencetuskan kontroversi.
Namun Mbemba sebenarnya sedang digantung permainan oleh Marseille selepas didakwa mempamerkan tingkah laku buruk kepada pengurusan ketika sesi latihan.
Menurut La Provence, menerusi Get French Football News, mesej Hassad kepada pemain berusia 30 tahun itu yang tidak disenangi pengurusan kelab.
Sebelum ini, timbul beberapa isu dengan Hassad yang masih belum tampil dalam skuad pertama kelab dan hanya beraksi dengan skuad simpanan.
Dia menerima surat daripada kelab yang merujuk ucapan hari lahirnya kepada Mbemba selain dakwaan dia mencaci rakan sepasukan dan enggan mematuhi arahan petugas kelab.
Hassad dalam responnya mengesahkan hukuman ke atasnya sebagai peringatan dan meminta maaf kerana tidak berniat untuk menyakitkan hati sesiapa.
“Hukuman ke atas saya sebagai peringatan daripada Olympique de Marseille susulan ‘Instagram story’ di mana saya mengucapkan selamat hari jadi kepada rakan sepasukan,” katanya.
“Saya tidak berniat langsung untuk menimbulkan suasana tidak baik dengan kelab atau pengurusan. Ia hanya ucapan yang mudah, ringkas seperti selalu saya lakukan dengan rakan sepasukan. Jika saya menyakiti sesiapa, saya minta maaf.”
© New Straits Times Press (M) Bhd

