KEDUDUKAN Malaysia sebagai antara kuasa besar dan negara elit dalam arena berbasikal Asia terus diperakui apabila Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) meluluskan pembangunan Pusat Berbasikal Dunia (WCC) di Johor.
Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC), Datuk Amarjit Singh Gill, mendedahkan bahawa mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan UCI (MC UCI) yang dipengerusikan oleh Presidennya, David Lappartient, baru-baru ini telah meluluskan pewujudan Satelit Pembangunan Benua dan Satelit Pembangunan Wilayah UCI WCC di Johor Bahru.
Amarjit, yang juga Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), menyatakan bahawa Pusat BMX WCC Johor Bahru akan bekerjasama rapat dengan UCI WCC yang berpangkalan di Aigle, Switzerland.
“Pusat BMX WCC Johor Bahru akan berperanan penting dalam pembangunan sejagat sukan berbasikal dan berfungsi sebagai pusat kecemerlangan kepada Persekutuan Negara (NF).
“Saya telah memberi jaminan bahawa Pusat BMX WCC Johor Bahru akan bersifat lebih autonomi dalam melaksanakan projek dan misinya. Saya berharap pusat ini akan memacu kemajuan pelumba berbasikal ke tahap tertinggi,” katanya.
Penubuhan Pusat BMX WCC Johor Bahru menjadikan Malaysia sebagai negara keempat di Asia yang memiliki WCC, selepas Korea Selatan (Seoul), China (Shanghai) dan Jepun (Shizuoka).
Amarjit, yang juga Ahli Lembaga Eksekutif UCI, memaklumkan bahawa pusat berkenaan akan dikendalikan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor, Majlis Sukan Negeri (MSN) Johor dan Persatuan Berbasikal Negeri Johor (PBNJ).
Beliau menegaskan bahawa kejayaan meyakinkan UCI adalah titik permulaan yang sangat baik bagi pembangunan disiplin BMX di peringkat Asia Tenggara.
“Seperti yang kita sedia maklum, negara-negara Asia Tenggara seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan Filipina mempunyai ramai pelumba BMX berbakat. Justeru, dengan penubuhan Pusat BMX WCC Johor Bahru ini, saya percaya Malaysia juga akan menerima faedah secara langsung daripada keputusan UCI.
“Saya amat gembira dengan kelulusan UCI MC ini kerana ia merupakan perjuangan berpanjangan PKBM sejak 2014. Akhirnya, Malaysia menerima pengiktirafan terbesar daripada UCI selepas beberapa siri mesyuarat dengan Pengarah WCC dan Presiden UCI. Saya berharap semua pihak di Malaysia, khususnya KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan MSN (Majlis Sukan Negara), akan berasa bangga dengan keputusan ini,” ujarnya.
Idea penubuhan Pusat BMX WCC Malaysia pernah dicetuskan oleh PKBM sebelum ini sebagai usaha meningkatkan kualiti kayuhan pelumba BMX negara.