Udang harimau LKIM di Sebatu projek terbaik

Jasin: Kolam ternakan udang harimau di Kampung Sebatu, Sungai Rambai, di sini, yang diusahakan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) diiktiraf antara projek terbaik di negara ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, potensi hasil ternakan itu dilihat mampu berkembang, sekali gus memberi hasil lumayan kepada pengusaha membabitkan empat persatuan nelayan di Melaka.

Beliau berkata, lokasi strategik merangkumi persekitaran bersih, membolehkan projek bermula sejak 2017 itu mengeluarkan hasil terbaik, sekali gus memberi pulangan memuaskan kepada pengusahanya.

“Menerusi program di bawah Projek Khas Rangsangan Ekonomi (PRE) Prihatin Ternakan Udang Dalam Kolam itu, empat persatuan nelayan bekerjasama melaksanakannya membabitkan Persatuan Nelayan Negeri Melaka (PNNM), Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Melaka Selatan, PNK Melaka Barat dan PNK Jasin.

“Sebanyak lapan kolam diusahakan dengan dana RM150,000 dan hasil keuntungan bersih dibahagikan sama rata,” katanya selepas melepaskan 500,000 benih udang harimau di Kolam Ternakan Udang Harimau LKIM Sebatu, di sini, hari ini.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Jasin berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk memasarkan hasil ternakan berkenaan kerana ia mendapat permintaan tinggi daripada peniaga serta penggemar makanan laut.

Beliau berkata, dengan keluasan 100 hektar, projek itu mempunyai empat fasa dengan fasa pertama berkeluasan 15 hektar, diikuti 30 hektar bagi fasa kedua, 18 hektar (fasa tiga) dan 37 hektar bagi fasa keempat.

Scroll to Top