Uefa gagal ketepikan saman peminat Liverpool

Uefa gagal ketepikan saman peminat Liverpool

London: Badan induk bola sepak Eropah, Uefa, gagal dalam usaha mengetepikan saman yang dikemukakan ratusan peminat Liverpool berhubung insiden kekecohan di luar Stade de France sebelum final Liga Juara-Juara 2022.

Kes yang difailkan pada 2023 itu menyaksikan Uefa dan Uefa Events berdepan tuntutan kecederaan peribadi akibat kejadian huru-hara yang menyebabkan perlawanan tertangguh lebih 30 minit.

Rakaman ketika itu menunjukkan polis Perancis menggunakan gas pemedih mata terhadap penyokong, yang mendakwa mereka dilayan secara kasar dan dikurung dalam kepungan di luar stadium.

Siasatan bebas mengenai insiden berkenaan mendapati Uefa bertanggungjawab terhadap ‘banyak insiden hampir mencetuskan bencana’ sebelum aksi final yang dimenangi Real Madrid 1-0.

Tahun lalu, Uefa mencapai penyelesaian dengan sekumpulan penyokong Liverpool, namun satu lagi kes membabi kira-kira 800 mangsa masih berlanjutan di Mahkamah Tinggi.

Uefa menafikan sebarang liabiliti dan sebelum ini cuba mengetepikan kes itu menerusi hujah perundangan pada Julai lalu, namun permohonan mereka ditolak semalam.

Jill Paterson, peguam mewakili plaintif dari firma guaman Leigh Day, menyifatkan keputusan itu sebagai kemenangan besar buat penyokong Liverpool.

“Ini adalah keputusan undang-undang yang bersejarah dalam perjuangan peminat Liverpool mendapatkan keadilan menentang Uefa.

“Uefa kini perlu berdepan mereka di mahkamah di England. Semua peminat bola sepak berhak menghadiri perlawanan dengan selamat,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, badan induk bola sepak Eropah itu menyalahkan penyokong Liverpool atas insiden kekecohan berkenaan sebelum mengeluarkan permohonan maaf.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top