Ugut Ahli Parlimen lepas dapat angpau RM5, polis tahan 4 lelaki

Ugut Ahli Parlimen lepas dapat angpau RM5, polis tahan 4 lelaki

am@hmetro.com.my

Julau: Polis menahan empat lelaki yang disyaki melakukan pemerasan dan ugutan terhadap Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng selepas tidak berpuas hati dengan jumlah angpau yang diberikan kepada mereka.

Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintendan Andam Sulin berkata, penahanan ke atas semua suspek dibuat jam 6 petang pada 12 Februari lalu, sehari selepas Sng tampil membuat laporan mengenai kejadian.

Beliau berkata, berdasarkan laporan, Sng mendakwa semasa beliau melawat kawasan Julau sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 11 Februari lalu, keempat-empat suspek bercakap dengannya sambil menyatakan tidak berpuas hati dengan jumlah angpau yang diberikan kepada mereka.

Katanya, Sng kemudian bersetuju menambah jumlah angpau namun suspek masih membuat provokasi terhadap pekerjanya.

“Hasil siasatan mendapati semua suspek dikatakan tidak berpuas hati disebabkan angpau yang diberikan oleh pengadu berisi RM5 saja.

“Suspek mengisikan angpau dengan duitnya sendiri berjumlah RM10 lalu memulangkannya kepada pengadu sebagai tanda tidak berpuas hati dan dipermalukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Andam berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Beliau berkata, permohonan reman dijalankan di Mahkamah Sarikei dan kesemua suspek ditahan reman selama tiga hari untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, Sng menerusi perkongsiannya di Facebook semalam menyatakan semasa melawat masyarakat Cina di Julau, beliau terserempak dengan beberapa samseng tempatan yang ingin menimbulkan masalah.

“Walaupun tidak mengalami kecederaan semasa kejadian itu, sejak itu saya mendapati betapa cepatnya kawasan luar bandar yang dahulunya aman damai itu kini menyerupai ‘Wild West’,” katanya.

Beliau turut mendakwa samseng daripada kumpulan yang berbeza juga menguasai kegiatan jenayah di Julau.

“Di Julau, selain daripada perjudian dalam talian, aktiviti haram mereka berkembang kepada penjualan dadah, seludup (rokok dan minuman keras) sehingga kepada pinjaman wang haram.

“Mereka memaksa pemilik kedai kopi di Pakan dan Julau untuk membeli barangan seludup mereka serta mengaut keuntungan daripada pekedai.

“Mereka yang menentang diancam secara paksa. Dalam satu contoh beberapa bulan yang lalu, ‘Batu’ dijual di khalayak ramai di bandar Julau untuk menunjukkan bahawa mereka tidak boleh disentuh,” katanya.

Selain itu, Sng mendakwa beliau dimaklumkan bahawa beberapa penjawat awam dan Tuai Rumah berhutang dengan kumpulan samseng yang menjalankan pinjaman wang secara haram.

Katanya, keadaan itu membuatkan mereka terdesak menjual tanah serta meminjam wang untuk membayar balik pinjaman daripada kumpulan samseng yang mengenakan mereka kadar faedah terlalu tinggi.

Justeru, Sng menggesa pasukan polis dari Bukit Aman bertindak keras terhadap mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top