Uhud: Ibrah besar tentang ketaatan dan kelalaian

Uhud: Ibrah besar tentang ketaatan dan kelalaian

PERISTIWA Perang Uhud bukan sekadar catatan sejarah, sebaliknya menjadi ibrah iaitu peringatan bahawa manusia mudah tergelincir apabila leka dan lalai, namun masih terbuka ruang untuk kembali kepada ALLAH dengan taubat nasuha.

Bukit Uhud yang terletak kira-kira lima kilometer di utara Madinah merupakan lokasi bersejarah yang menyaksikan salah satu peperangan besar dalam Islam.

Memiliki panjang sekitar tujuh kilometer, lebar tiga kilometer dan ketinggian 300 meter, bukit berwarna kemerah-merahan itu pernah disebut Rasulullah SAW sebagai bukit yang dikasihi dan mengasihi Baginda, sebagaimana diriwayatkan dalam hadis sahih.

Sabda Baginda SAW: “Ini adalah bukit yang mencintai kita dan kita mencintainya. Ya ALLAH, sesungguhnya Ibrahim telah mensucikan kota Makkah dan sesungguhnya aku mensucikan di antara dua kota batu hitam (Madinah).” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Perang Uhud berlaku pada tahun ketiga Hijrah, dalam bulan Syawal, sebagai misi balas dendam pihak Quraisy Mekah selepas kekalahan mereka dalam Perang Badar.

BUKIT Uhud.

BUKIT Uhud.

Tentera Islam ketika itu seramai 1,000 orang, namun 300 orang menarik diri, meninggalkan 700 pejuang untuk berdepan 3,000 tentera musyrikin.

Perintah Diabaikan

Nabi Muhammad SAW telah menempatkan 50 pemanah di Bukit Ar-Rumah (Jabal Ainain) dengan arahan tegas agar mereka tidak meninggalkan posisi tersebut walau apa pun yang berlaku – sama ada menang atau kalah.

Namun, apabila tentera Islam dilihat menguasai pusingan awal pertempuran, 40 daripada mereka turun dari bukit untuk mengutip harta rampasan perang, walaupun telah diingatkan oleh ketua mereka, Abdullah bin Jubair, agar kekal di posisi masing-masing.

Kelekaan itu dimanfaatkan oleh panglima perang Quraisy yang bijak berstrategi iaitu Khalid Ibnu Walid (ketika belum memeluk Islam), menyerang dari arah belakang.

Akibatnya, tentera Islam mengalami kekalahan mengejut dengan 70 orang gugur syahid termasuk bapa saudara Nabi iaitu Sayidina Hamzah RA, manakala hanya 22 tentera musuh terbunuh.

Peristiwa ini menggambarkan bahawa sifat lupa dan lalai adalah lumrah manusia. Namun, keistimewaan orang beriman ialah apabila ditegur, mereka sedar dan segera kembali ke jalan yang benar.

Usah Ulangi Kesilapan

Perang Uhud memberi pengajaran besar agar umat Islam tidak mengulangi kesilapan sama – leka dengan kemenangan kecil dan lalai terhadap amanah yang lebih besar.

KETIKA Perang Uhud, tentera Muslimin hanya berjumlah 700 pejuang untuk berhadapan dengan 3,000 tentera musyrikin. Gambar hiasan.

KETIKA Perang Uhud, tentera Muslimin hanya berjumlah 700 pejuang untuk berhadapan dengan 3,000 tentera musyrikin. Gambar hiasan.

Kemenangan sebenar bukan terletak pada jumlah atau strategi semata-mata, tetapi pada kekuatan iman dan ketaatan.

Sesungguhnya, ibrah dari Bukit Uhud masih segar dan sangat relevan untuk dijadikan panduan umat hari ini dalam menghadapi cabaran dunia yang penuh ujian dan kelalaian.

Scroll to Top