UIAM sambut baik pendidikan tinggi percuma untuk pelajar OKU

UIAM sambut baik pendidikan tinggi percuma untuk pelajar OKU

lokman.khairi@hmetro.com.my

Gombak: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pendidikan tinggi percuma kepada pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) di universiti awam, politeknik dan kolej komuniti melalui Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.

Ketua Unit Perkhidmatan OKU, Pejabat Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti) UIAM, Prof Dr Ruzita Mohd Amin berkata, inisiatif itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan pelajar OKU dan keluarga mereka, selaras dengan nilai ihsan, keadilan sosial dan kemanusiaan sejagat.

“Sebagai institusi pendidikan tinggi yang berteraskan nilai Islam dan kemanusiaan sejagat, UIAM melihat langkah ini sebagai manifestasi komitmen kerajaan dalam menterjemahkan prinsip inklusiviti dan tanpa diskriminasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dasar berkenaan juga sejajar dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (UNCRPD) yang ditandatangani oleh Malaysia serta Akta Orang Kurang Upaya 2008.

“Pemberian pendidikan tinggi percuma kepada pelajar OKU bukan sekadar bantuan kewangan, malah satu pengiktirafan terhadap maruah insan serta usaha mengurangkan beban keluarga yang berdepan kos rawatan, terapi dan sokongan pembelajaran yang tinggi.

“Pendekatan ini amat selari dengan ajaran Islam yang menekankan hubungan sesama manusia serta konsep rahmatan lil ‘alamin, sekali gus mengukuhkan nilai empati dan kemanusiaan dalam masyarakat.

“UIAM komited untuk terus menyokong agenda kerajaan dalam memperkasa pendidikan inklusif dan memastikan pelajar OKU diberikan peluang yang saksama bagi membolehkan mereka berjaya dan mencapai potensi mereka sepenuhnya, serta seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Pada 20 Januari lalu, Anwar meluncurkan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) dan RPTM 2026-2035.

Beliau mengumumkan 3,000 pelajar OKU di institusi pengajian tinggi awam, politeknik dan kolej komuniti akan menerima pendidikan percuma.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top