Uji bakat dengan Awie tapi nyanyi lagu Lefthanded, XPDC

Uji bakat dengan Awie tapi nyanyi lagu Lefthanded, XPDC

SIRI 1

mohamadridzuan@hmetro.com.my

MEMULAKAN karier nyanyian bersama kumpulan Kristal pada usia 14 tahun adalah satu pencapaian terhebat diraih olehnya.

Bagaimanapun, perjalanan Lan Solo atau nama sebenarnya Muhammad Razlan Mohamed Yusof, 40, untuk bergelar vokalis kumpulan ini bukanlah mudah.

Lan berkata, dia perlu melalui tiga uji bakat sebelum berjaya diterima menganggotai kumpulan yang sebelumnya dikenali dengan nama Bassline ini.

“Anggota ketika itu ialah Rody (gitar utama), Izal (bass), Bob (gitar kedua) dan Ainul (dram). Selepas mereka mencari penyanyi, baharulah saya sertai mereka.

“Bagaimanapun, sebelum itu, saya kena melalui proses uji bakat yang dikendalikan oleh Pak Din iaitu bapa Rody. Itu ujian pertama dan saya berjaya melepasinya.

“Selepas itu kena melalui uji bakat dengan Datuk Awie pula kerana Kristal adalah artis di bawah naungan Awie Entertainment. Alhamdulillah ujian kedua berjaya diharungi.

“Yang terakhir sekali, peringkat seterusnya barulah dengan Datuk M Nasir. Syukur saya lulus juga sebagai penyanyi rakaman dan berjaya rakam album sulung Kristal berjudul Seragam Hitam,” katanya.

Lan berkata, pada 1999 dia hanyalah remaja atau budak sekolah biasa yang sering menyertai sesi ‘jamming’ (latihan muzik) bersama kawan-kawan di pelbagai lokasi.

“Ketika itu saya tinggal di Kampung Pasir, Hulu Klang. Taman Permata, antara tempat saya jamming. Daripada situlah, saya diuji bakat untuk jadi vokalis Kristal.

“Saya teruja apabila dipanggil uji bakat. Tiada apa-apa perasaan yang tidak-tidak pun. Masa itu saya masih budak-budak lagi. Pergi uji bakat usia 13 atau 14 tahun.

“Yang kelakarnya masa sesi uji bakat dengan Abang Awie, saya tak menyanyikan langsung lagu dia. Malah sampai sekarang saya kena perli saja dengan dia,” katanya.

Menurutnya, dia sukar mahu menggambarkan perasaannya yang ‘lost’ (hilang tumpuan) apabila berdepan penyanyi sebenar.

“Saya menyanyi lagu Ukays, Slam dan Spring. Tiba-tiba Abang Awie suruh saya menyanyi lagu rock sikit. Jadi terlintas masa itu lagu Lefthanded dan lagu XPDC.

“Sedangkan lagu Abang Awie sangat popular waktu itu antaranya Tragedi Oktober, Ratuku, Di Penjara Janji, satu pun saya tak boleh ingat, tak keluar langsung dari mulut saya.

“Sebelum itu menyanyi suka-suka ada macam lagu Terima Kasih, lagu ‘simple’ (ringkas) maklumlah budak lagi ketika itu. Mana nak beria-ia yang bukan-bukan,” katanya.

Lagu Wings yang pernah dinyanyikannya ialah Bernafas Dalam Lumpur. Bagaimanapun, Lan bersyukur kerana Awie tetap menerimanya dan berjaya ke uji bakat seterusnya dengan M Nasir.

Esok: M Nasir puji Lan menyanyi lagu slow, tetapi untuk rock kena ‘polish’ lagi

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top