Ujian peluru berpandu balistik Korea Utara gagal

Ujian peluru berpandu balistik Korea Utara gagal

PYONGYANG: Korea Utara melancarkan `projektil tidak dikenal pasti’ yang disyaki peluru berpandu balistik namun misi berkenaan dipercayai gagal.

Lapor Al Jazeera, tentera Korea Selatan mendakwa projektil itu meletup di ruang udara selepas dilancarkan, hari ini.

“Korea Utara melepaskan projektil tidak dikenal pasti kira-kira pukul 9.30 pagi (waktu tempatan) namun ia dipercayai gagal sejurus selepas dilancarkan,” kata Ketua Turus Bersama Seoul (JCS) dalam kenyataan.

Jelas kenyataan itu, peluru berpandu yang disyaki itu dilancarkan dari sebuah tapak berhampiran lapangan terbang di Pyongyang.

Terdahulu, media Jepun memetik kenyataan seorang pegawai kementerian pertahanan melaporkan Korea Utara mungkin melancarkan peluru berpandu balistik.

“Berdasarkan penilaian kami, pelancaran projektil itu nampaknya gagal kerana tidak mencapai ketinggian tertentu pada fasa awal,” kata pegawai JCS sepertimana dilaporkan oleh agensi berita Yonhap.

Setakat ini, Pyongyang sudah melancarkan 10 ujian senjata pada tahun ini.

Sebelum ini, Korea Utara berkata, dua daripada pelancaran itu merupakan `satelit peninjau’.

Namun, Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) memaklumkan mereka percaya ujian tersebut berkaitan dengan sistem peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) baharu yang tidak pernah diuji sebelum ini.

Scroll to Top