UK gesa wanita hamil divaksinasi

UK gesa wanita hamil divaksinasi

LONDON: Pihak berkuasa kesihatan Britain menggesa lebih ramai wanita hamil menerima suntikan vaksin COVID-19 selepas satu kajian nasional mendapati varian Delta boleh meningkatkan risiko untuk mendapat gejala yang lebih serius.

Bidan terbaik di England semalam menegaskan, data baharu menunjukkan peningkatan gejala yang teruk dalam kalangan wanita hamil yang dimasukkan ke wad dengan simptom COVID-19.

Ketua Pegawai Perbidanan England, Jacqueline Dunkley-Bent, menulis kepada pengamal perubatan am (GP) swasta dan bidan supaya menggalakkan wanita hamil mendapatkan vaksinasi.

Katanya, ia penting demi melindungi nyawa ibu dan anak dalam kandungan.

Kolej Diraja Obstetrik dan Ginekologi (RCOG) dan Kolej Bidan Diraja (RCM) turut mengesyorkan vaksinasi untuk wanita hamil.

Kesihatan Awam England berkata, pihaknya mengesyorkan mereka mendapatkan vaksin Moderna dan Pfizer kerana ia telah diberikan kepada lebih 130,000 wanita hamil di Amerika Syarikat (AS).

Kajian berasaskan data kebangsaan yang dihimpunkan oleh Sistem Pengawasan Obstetrik United Kingdom (UK) dan diterbitkan pada 25 Julai lalu itu mendapati jumlah wanita hamil yang dimasukkan ke hospital dengan simptom sederhana sehingga teruk meningkat mendadak selepas varian Delta menjadi dominan pada Mei.

Kajian oleh kumpulan penyelidik Universiti Oxford mendapati wanita hamil yang dimasukkan ke hospital ketika gelombang varian Delta ini cenderung untuk mendapat serangan pneumonia dan memerlukan sokongan pernafasan.

“Sangat membimbangkan kerana ketika ini jumlah wanita hamil yang dimasukkan ke hospital akibat COVID-19 terus meningkat dan mereka ini mendapat gejala yang lebih teruk kesan jangkitan varian Delta,” kata Ketua Penyelidiknya, Prof Marian Knight, iaitu pakar kesihatan ibu mengandung dan populasi kesihatan kanak-kanak di University Oxford.

Kajian itu turut memberitahu, sejak Februari lalu, tidak ada seorang pun daripada 3,000 wanita hamil yang dimasukkan ke hospital dengan simptom COVID-19 telah divaksinasi sepenuhnya.

UK mengesyorkan wanita hamil divaksinasi sejak April lalu, bagaimanapun kadar suntikan masih rendah kerana pelbagai faktor termasuk penyebaran maklumat tidak tepat pada, permulaan program vaksinasi dijalankan.

“Dapatan daripada kajian ini menunjukkan terdapat keperluan mendesak bagi komuniti antarabangsa menangani isu maklumat yang tidak tepat dan menambah baik kadar vaksinasi bagi wanita hamil,” katanya.

Tinjauan RCOG pada Mei mendapati 58 peratus wanita hamil menolak untuk divaksinasi dengan kebanyakannya bimbang ia memberi kesan buruk kepada kandungan, selain ada yang masih menunggu maklumat lebih tepat berkaitan keselamatan mereka. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top