UK henti rundingan perjanjian dagangan bebas dengan Israel

UK henti rundingan perjanjian dagangan bebas dengan Israel

David Lammy (kiri) dan Benjamin Netanyahu

– Advertisement –

LONDON, United Kingdom: Kerajaan United Kingdom (UK) pada Selasa secara rasmi menghentikan rundingan perjanjian perdagangan bebas dengan Israel susulan kekejaman berterusan rejim Zionis itu di Semenanjung Gaza.

– Advertisement –

Setiausaha Luar Negeri, David Lammy berkata, pentadbiran pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah melakukan ‘tindakan dan retorik yang melampau’ berikutan peluasan operasi ketenteraan di wilayah tersebut.

“Saya umumkan hari ini bahawa rundingan mengenai perjanjian perdagangan bebas baharu (bersama Israel) telah ditangguhkan. Kami juga akan menilai semula kerjasama dua hala di bawah Peta Jalan 2030.

“Dunia sedang menilai, sejarah akan menghakimi mereka. Menyekat bantuan, memperluaskan peperangan, mengenepikan kebimbangan rakan dan sekutu. Ini tidak dapat dipertahankan dan mesti dihentikan,” katanya dalam ucapan di Dewan Rakyat.

Tambah beliau, Duta Israel ke UK telah dipanggil ke Kementerian Luar untuk menerima surat rasmi berhubung keputusan tersebut, sekali gus menandakan perubahan ketara dalam pendirian diplomatik UK terhadap konflik yang berlarutan itu.

Menurutnya, rancangan rejim Israel mengusir penduduk Gaza serta sekatannya terhadap bantuan kemanusiaan kepada orang awam yang berdepan kebuluran, kehilangan tempat tinggal dan trauma menunjukkan konflik itu sedang memasuki ‘fasa gelap’ yang baharu.

Ia apabila kurang daripada 10 trak bantuan dibenarkan masuk pada Isnin, sekali gus meningkatkan risiko kebuluran dalam kalangan ratusan ribu orang awam di wilayah berkenaan.

“Memetik kata-kata Perdana Menteri Israel, cukup sekadar untuk mengelakkan kebuluran – ini sangat keji,” katanya, merujuk amaran tegas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai kebuluran yang semakin meruncing.

UK dan Israel sebelum ini telah memulakan rundingan untuk perjanjian perdagangan bebas yang baharu pada 20 Julai 2022 sebagai usaha untuk meningkatkan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.

Menurut kerajaan UK, Israel merupakan rakan dagang ke-44 terbesar negara itu tahun lalu, dengan nilai dagangan mencecah £5.8 bilion paun (RM33 bilion) dalam bentuk barangan dan perkhidmatan. – HARAKAHDAILY 21/5/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

– Advertisement –

Scroll to Top