am@hmetro.com.my
Georgetown: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan kerjasama Harian Metro menerusi Program Titipan Kasih Back To School menyantuni seramai 200 pelajar dari dua sekolah di Gelugor di sini.
Semua penerima dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gelugor dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Hj Mohamed Nor Ahmad itu menerima sumbangan kelengkapan set pakaian serta beg sekolah yang baharu.
Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan setiap tahun oleh PTPTN itu adalah tahun kedua pelaksanaannya bersama Harian Metro.
Katanya, program terbabit bertujuan membantu meringankan beban ibu bapa yang kurang berkemampuan dan meraikan pelajar untuk melangkah masuk ke sesi baharu persekolahan dengan lengkap berpakaian sekolah.
“Program ini adalah usaha dalam menyokong pendidikan anak bangsa dan memberi peluang lebih baik kepada golongan yang memerlukan.
“Menerusi program ini, pelajar asnaf akan menerima bantuan set pakaian sekolah serta beg sekolah berjumlah RM37,000 sumbangan daripada PTPTN.
“Pihak Media Prima Berhad pula turut memberi sumbangan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM20,000 apabila setiap pelajar menerima sebanyak RM100 setiap seorang,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian program berkenaan di SK Bukit Gelugor.
Hadir sama Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek Titipan Kasih Harian Metro, Husain Jahit dan Pengurus Besar Kumpulan, Komunikasi Korporat Kumpulan & Pejabat Pengerusi Kumpulan, Media Prima Berhad, Azlan Abdul Aziz.
Juga Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Mohamad Said Ibrahim; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Yusri Abdul Malek.
Mengulas lanjut Norliza berkata, program itu juga secara tidak langsung menunjukkan komitmen PTPTN untuk memastikan pendidikan dapat diakses oleh semua.
“Kami percaya setiap pelajar berhak mendapat peluang yang sama untuk berjaya dan bantuan ini diharap dapat meringankan beban keluarga asnaf.
“Semoga usaha ini beri semangat baharu kepada anak-anak dalam memulakan tahun persekolahan dengan penuh keyakinan serta harapan,” katanya.
PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menjadi peneraju tabung pendidikan tinggi negara akan terus komited dalam meningkatkan pelaksanaan program CSR demi pembangunan anak bangsa.
Sementara itu, Husain berkata sumbangan ini diharap dapat memupuk budaya menabung dalam kalangan pelajar sejak usia muda serta membantu mereka merancang masa depan pendidikan dengan lebih baik.
Katanya, inisiatif itu juga bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa dalam memastikan akses pendidikan lebih terjamin untuk anak mereka.
“Inisiatif yang dilaksana oleh Harian Metro turut mencerminkan keprihatinan dan komitmen Media Prima Berhad dalam menyumbang kembali kepada masyarakat.
“Menerusi pelbagai program yang dirangka, kami berusaha bagi memberi impak positif berterusan dalam meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup,” katanya.
PTPTN mewujudkan instrumen simpanan menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) sebagai platform terbaik bagi menggalakkan masyarakat membuat perancangan kewangan untuk tujuan pendidikan tinggi.
Simpan SSPN menyediakan pelbagai keistimewaan dan manfaat seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, dividen yang kompetitif, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, patuh syariah dan dijamin kerajaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




