rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meraikan sebarang perbezaan pendapat yang memberi manfaat kepada masyarakat, negara dan bangsa.
Pusat Komunikasi Korporat UKM menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya tidak menghalang kebebasan bersuara warga universiti itu sama ada secara lisan atau bertulis termasuk di media sosial.
“Etika dan kematangan mengemukakan pandangan serta hujah harus diamalkan melalui tatacara berkomunikasi yang baik.
“Menegur dan mengkritik secara berhemah yang mana setiap pandangan perlu disokong dengan fakta serta lingkungan disiplin keilmuan dan kepakaran,” kata kenyataan itu.
Ia mengulas mengenai kenyataan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang mendakwa menerima keluhan warga akademik UKM berhubung arahan supaya pegawai awam tidak boleh mengeluarkan kenyataan termasuk di media sosial.
Menerusi perkongsian yang dibuat di aplikasi X, Dr Maszlee turut berkongsi surat pekeliling baharu yang dikeluarkan Jabatan Pendaftar UKM kepada seluruh warga akademik dan kakitangannya.
Dalam pada itu, UKM berkata, sebagai institusi yang menyanjung tinggi intelektual awam, pihaknya sentiasa konsisten dalam menggalakkan warga untuk bersuara berteraskan kepada tradisi ilmu dan peranannya sebagai Universiti Watan.
UKM juga menggalakkan kenyataan awam yang berbentuk konstruktif sebagai wadah ilmu dan disiplin keilmuan yang menjadi pemangkin perbincangan ilmiah dalam kalangan warganya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



