BRUSSELS: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berusaha mendapatkan sokongan sekutu Eropah dalam sidang kemuncak di Brussels pada Jumaat, ketika ketegangan dengan Amerika Syarikat (AS) memuncak susulan keputusan Kyiv meneruskan serangan terhadap kilang penapisan minyak Russia.
Zelensky sebelum ini menyatakan Ukraine tidak lagi akan mematuhi tuntutan Presiden AS, Donald Trump, supaya menghentikan serangan terhadap kemudahan minyak Russia.
Hubungan antara Kyiv dan Washington semakin tegang sejak minggu lalu selepas Trump melonggarkan sekatan terhadap Russia sebagai pertukaran kepada tindakan Moscow membekalkan sejumlah besar diesel ke pasaran global.
Memuatkan artikel berkaitan…
Ketegangan itu turut meningkat susulan gangguan terhadap sistem satelit kritikal yang dibekalkan AS, sekali gus menjejaskan keupayaan tentera Ukraine untuk menangkis serangan pengeboman intensif Russia.
Dalam temu bual dengan Financial Times, Zelensky berkata penangguhan serangan terhadap kilang penapisan minyak Russia sudah berakhir kerana Moscow gagal mematuhi gencatan senjata berkaitan serangan terhadap infrastruktur tenaga yang diumumkan Trump.
Sebagai tindak balas, Trump menyifatkan serangan baharu Ukraine sebagai sesuatu yang ‘memalukan’ dan mendakwa tindakan Kyiv menyumbang kepada kenaikan harga tenaga global.
“Saya mendapati Zelensky lebih sukar untuk berurusan berbanding Putin,” kata Trump dalam temu bual bersama Newsmax yang diterbitkan pada Khamis.
Sebaliknya, pemimpin Eropah secara umumnya menyatakan sokongan kepada Zelensky ketika mereka berusaha menangani ketegangan terbaharu dalam hubungan Trump dengan Kyiv yang sering berubah-ubah.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, berkata Ukraine perlu diberikan ‘segala bantuan yang diperlukan untuk melindungi diri’ selepas mengadakan pertemuan dengan Zelensky.
“Saya ingin memberi jaminan kepada anda, sahabat Ukraine dan Presiden Zelensky: ANDA TIDAK BERSENDIRIAN,” tulis Perdana Menteri Poland, Donald Tusk, menerusi media sosial.
Zelensky bertemu Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte, di Brussels pada Khamis dan mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan pemimpin Eropah sebelum menghadiri sidang kemuncak Kesatuan Eropah (EU) pada Jumaat.




