KOTA BHARU: Majlis Ulama UMNO mahu kerjasama antara parti itu dengan Pas dimeterai secara lebih kukuh dan tidak lagi hanya bersandarkan rundingan serta muafakat.
Pengerusinya, Datuk Dusuki Ahmad berkata, penyatuan itu sangat penting dalam menghadapi pelbagai masalah dan pertembungan yang dijangka berlaku pada masa akan datang, selain mengambil kira perkembangan dunia yang semakin terbuka.
Katanya, usaha penyatuan yang dilakukan ketika ini adalah satu ijtihad baik dan perlu didoakan supaya kerjasama berkenaan berjaya serta diberkati Allah.
“Selama ini kita hanya berunding dan berunding. Muafakat dan muafakat, kerjasama dalam bentuk begitu sahaja. Kita mengharap untuk akan datang, supaya kerjasama itu dimeteraikan,” katanya selepas menghadiri Muktamar Dewan Ulama Pas di sini hari ini.
Dusuki berkata, kerjasama berkenaan tidak seharusnya dilihat semata-mata untuk kepentingan UMNO dan Pas, sebaliknya perlu diperluas demi kepentingan seluruh umat Islam.
“Bukan sahaja bagi kepentingan UMNO dan Pas malah seluruh umat Islam. Keadaan dunia ketika ini yang semakin terbuka menjadikan usaha penyatuan umat Islam sebagai sesuatu yang amat penting.
“Kerana dalam dunia sekarang ini, dunia langit terbuka dan sebagainya, penyatuan itu adalah amat penting sekali. Saya berasakan ijtihad yang kita buat hari ini dengan penyatuan itu, dengan kerjasama untuk akan datang, itu adalah amat baik,” ujarnya.
Beliau berkata, pelbagai masalah dan pertembungan yang bakal dihadapi menjadikan ketika ini masa paling sesuai untuk usaha penyatuan diperkukuh.
“Bahawa akan datang ini, banyak masalah. Banyak pertembungan. Pada waktu ini adalah paling sesuai bahawa penyatuan itu diperkukuh. Ini adalah suatu ijtihad yang baik. Yang kita sama-sama doakan bahawa ijtihad ini berjaya, kerjasama itu diberkati oleh Allah,” katanya.
Beliau turut berharap pemimpin pada masa akan datang melihat usaha berkenaan sebagai perkara sepatutnya diberikan keutamaan supaya usaha penyatuan dan kerjasama yang sedang dibina dapat diteruskan.
“Harus kita doakan supaya pemimpin-pemimpin kita akan datang mesti melihat perkara ini sebagai suatu yang sepatutnya, semestinya diberi keutamaan,” katanya. – UTUSAN
