am@hmetro.com.my
Gua Musang: Seorang penduduk Taman Agropolitan Rantau Manis di sini terpaksa menempuh perjalanan hampir 40 kilometer untuk memunggah air kerana gangguan air sejak pertengahan Ramadan lalu.
Mohd Nasah Ya, 55, terpaksa berulang alik dari rumahnya ke rumah keluarga di Bandar Gua Musang untuk mengambil bekalan air bersih bagi kegunaan keluarga.
Katanya, dia terpaksa memunggah air menggunakan dua tong dengan jumlah kapasiti 40 liter hampir setiap hari untuk kegunaan harian.
Katanya, tugas memunggah air itu sudah menjadi rutin kepada dirinya hampir setiap hari apabila kawasan itu mengalami gangguan bekalan air bersih Air Kelantan Sdn Bhd(AKSB) sejak tiga minggu lalu.
“Perjalanan keluar dari tempat ini ke Bandar Gua Musang hampir 20 kilometer dan saya akan berulang alik kerana perlu menjaga dan menguruskan isteri yang sedang sakit.
“Adakalanya saya terpaksa mengambil air di Hentian Rawat dan Rehat (R&R) atau masjid di sekitar kawasan ini, namun risau juga jika dimarahi pihak terbabit apabila terlalu kerap mengambil air di sana, kerana itu saya membuat keputusan mengambil air di rumah keluarga yang terletak di Bandar Gua Musang.
“Saya harap masalah ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin untuk kemudahan kami penduduk di sini,” katanya ketika ditemui di Taman Agropolitan Rantau Manis, di sini.
Seorang lagi penduduk, Sahazudin Mohammad, 52, berkata masalah gangguan bekalan air terbabit berlaku setiap tahun menjelang Ramadan dan sambutan Aidilfitri.
Katanya, kerana masalah terbabit dia terpaksa mengambil inisiatif untuk mandi di R&R yang terdekat.
“Sejak lapan tahun saya berada di Taman Agropolitan Rantau Manis ini, setiap kali Ramadan akan berlaku masalah ganguan bekalan air bersih daripada pihak AKSB.
“Dan pada tahun ini adalah sangat serius apabila sudah seminggu raya pun air masih lagi tiada dan saya terpaksa keluar ke R&R sejauh kira-kira 5 km untuk mandi. Saya bekerja kontrak di sini dan tinggal seorang diri.
“Bagi penduduk yang mempunyai anak kecil masalah ini memberi tekanan kepada mereka dan saya difahamkan ada di antara penduduk yang berniaga makanan terpaksa menolak tempahan kerana masalah ketiadaan air,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata gangguan bekalan air bersih itu membabitkan 600 keluarga di Taman Agropolitan Rantau Manis.
Katanya masalah terbabit bermula dua minggu sebelum menjelang sambutan Aidilfitri dan sehingga kini masih berlarutan.
“Walaupun pihak AKSB ada membuat penghantaran air bersih ke kawasan ini serta menyediakan tangki dengan kapasiti lebih 7,000 liter air namun ia masih belum mencukupi untuk kegunaan penduduk di kawasan ini. Saya harap ada tindakan segera daripada pihak berwajib,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Korporat AKSB memaklumkan masalah gangguan bekalan air di Taman Agropolitan Rantau Manis di sini dikenal pasti berpunca daripada peningkatan mendadak permintaan air terutama ketika musim perayaan dan kapasiti loji rawatan air yang melebihi tahap maksimum.
Katanya, sumber bekalan air bagi kawasan berkenaan daripada Loji Rawatan Air (LRA) Limau Kasturi yang kini beroperasi pada kadar 5.2 juta liter sehari (MLD) iaitu melebihi kapasiti asal loji itu iaitu 4 juta liter sehari.
Ujarnya, pihak AKSB sudah menggerakkan bantuan bekalan air melalui lori tangki dengan pengisian ke tangki statik di kawasan terjejas sebanyak dua kali sehari.
© New Straits Times Press (M) Bhd




