Ulang tahun ke-15

Ulang tahun ke-15

lizamridzuan@hmetro.com.my

SEMPENA ulang tahun ke-15 Porsche Malaysia, Sime Darby Auto Performance (SDAP) melancarkan generasi baharu model ikonik 911 dengan pengenalan dua varian iaitu 911 Carrera dan 911 Carrera 4 GTS yang boleh ditempah dengan harga bermula RM1.43 juta dan RM1.89 juta.

Model 911 Carrera 4 GTS kini hadir dengan sistem T-Hybrid inovatif yang diinspirasikan daripada dunia perlumbaan yang dilengkapi pengecas turbo elektrik dengan motor elektrik terbina antara pemampat dan turbin untuk respon kuasa yang pantas dan efisien.

Turbo elektrik ini juga bertindak sebagai penjana kuasa, menghasilkan sehingga 11 kW daripada aliran gas ekzos, menggantikan sistem dua turbo sebelum ini dengan satu turbo berprestasi tinggi.

Tambahan pula, motor elektrik kedua diletakkan dalam transmisi klac berkembar 8-kelajuan (PDK) memberikan tork tambahan hingga 150 Nm dan hemburan kuasa hingga 40 kW pada enjin.

Kedua-dua motor elektrik ini disokong oleh bateri voltan tinggi kompak berkapasiti 1.9 kWh, dengan sistem 400 V dan berat sistem hibrid ini hanya meningkat 50 kg berbanding model sebelumnya.

Nadi utama sistem ini ialah enjin boxer 3.6L baharu, lebih kompak dengan tidak memasukkan tali sawat dan menerusi penggunaan komponen elektrik seperti pemampat pendingin hawa, ia menghasilkan kuasa asas 485PS dan jika digabungkan mencapai hingga 541PS secara keseluruhan.

Untuk 911 Carrera pula mengekalkan enjin boxer 3.0L turbo-berkembar, kini dengan intercooler daripada model Turbo yang meningkat kuasa kepada 394PS dan tork 450 Nm, memecut 0 ke100 km/j dalam 4.1 saat (3.9 saat dengan Sport Chrono).

Sistem suspensi untuk Carrera 4 GTS dipertingkat dengan rear-axle steering sebagai ciri standard dengan uspensi sport PASM direndahkan 10 mm bagi pemanduan lebih agresif.

Varian GTS juga mendapat tayar belakang lebih lebar untuk cengkaman yang lebih baik serta reka bentuk rim termasuk opsyen bilah karbon untuk pengurangan seretan angin.

Untuk segi aerodinamik, reka bentuk bampar hadapan baharu, flap udara aktif dan diffuser bawah badan memberikan aliran udara pintar mengikut keperluan kuasa serta sistem lampu LED matriks kini standard, dengan opsyen fungsi HD matrix 32,000 titik cahaya dan pelbagai ciri seperti lampu pembelok dinamik dan pancaran tinggi tanpa silau.

Reka bentuk belakang turut diperhalusi dengan light bar baharu dan diffuser bergaya dan untuk Carrera GTS didatangkan dengan sistem ekzos sport secara standard.

Untuk kabin, paparan instrumen kini digital sepenuhnya dengan skrin 12.6 inci melengkung yang boleh diubah rekaan interaktif, termasuk mod klasik dengan tachometer tengah.

Porsche Communication Management (PCM) kekal dengan skrin 10.9 inci, kini lebih responsif dengan keterhubungan Apple CarPlay dengan aplikasi Spotify dan Apple Music binaan dalam.

Kedua-dua model didatangkan dengan Porsche Doppelkupplun (PDK) sebagai standard, dengan Carrera menerusi pacuan roda belakang dan Carrera 4 GTS dengan ciri pacuan semua roda.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top