Ular sawa batik terpanjang dunia ditemui di Sulawesi

Ular sawa batik terpanjang dunia ditemui di Sulawesi
Ular sawa batik terpanjang dunia ditemui di Sulawesi

Ibu Baron direkodkan oleh GWR secara rasmi sebagai ular sawa batik terpanjang dunia .-Agensi

JAKARTA – Seekor ular sawa batik betina bersaiz gergasi ditemui di Maros, Sulawesi Selatan pada akhir 2025 dan disahkan sebagai ular liar terpanjang di dunia yang pernah diukur secara rasmi, lapor CNBC Indonesia.

Menurut Guinness World Records (GWR), ular berkenaan yang dinamakan ‘Ibu Baron’ mempunyai panjang 7.22 meter, hasil pengukuran yang dilakukan pada 18 Januari 2026, daripada kepala hingga ke hujung ekor.

Saiznya hampir menyamai lebar gawang bola sepak standard FIFA dan jauh mengatasi purata panjang biasa ular sawa batik, iaitu sekitar 3 hingga 6 meter.

Selain panjang luar biasa, ular tersebut turut direkodkan mempunyai berat 96.5 kilogram (kg), bersamaan berat seekor panda gergasi dewasa dan dianggarkan boleh mencecah lebih 100kg.

Ibu Baron kini berada di bawah jagaan pusat pemuliharaan tempatan, Budi Purwanto yang bertindak mengambil alih haiwan itu bagi memastikan keselamatannya selepas penemuan tersebut tular pada Disember 2025.

Pengukuran dan dokumentasi dilakukan oleh pemandu hidupan liar, Diaz Nugraha bersama penjelajah dan jurufoto alam, Radu Frentiu yang datang khas ke Sulawesi selepas menerima laporan mengenai kewujudan ular bersaiz luar biasa itu.

Menurut Nugraha, peningkatan kemunculan ular sawa gergasi dikaitkan dengan penyusutan habitat dan pengurangan sumber makanan semula jadi akibat pemburuan liar, sekali gus memaksa ular lebih kerap bersentuhan dengan manusia.

Rekod terdahulu ular sawa batik liar terpanjang ialah 6.95 meter ditemui di Kalimantan Timur pada 1999.

Penemuan terbaharu itu sekali gus mengukuhkan status ular sawa batik sebagai spesies ular terpanjang di dunia.- Agensi

Ringkasan AI

  • Seekor ular sawa batik betina bersaiz gergasi ditemui di Maros, Sulawesi Selatan, pada akhir 2025
  • Ular tersebut dinamakan ‘Ibu Baron’ dan mempunyai panjang 7.22 meter
  • Saiznya hampir menyamai lebar gawang bola sepak standard FIFA dan jauh mengatasi purata panjang biasa ular sawa batik
  • ‘Ibu Baron’ mempunyai berat 96.5 kilogram, bersamaan berat seekor panda gergasi dewasa
  • Penemuan ‘Ibu Baron’ mengukuhkan status ular sawa batik sebagai spesies ular terpanjang di dunia
Scroll to Top