Sambutan Merdeka tahun ini dihangatkan dengan muzik retro moden apabila Masdo yang dianggotai oleh Ali Sariah, Putuceri dan Asmawi meraikan satu dekad perjalanan seni mereka bersama ribuan peminat di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert ulang tahun Al-Kisah Kugiran Masdo 10 Tahun bukan sahaja sebuah persembahan, tetapi perayaan kecil yang membawa penonton menyelusuri kenangan muzik mereka sejak 2015.


Sorakan bergema saat mereka membuka tirai dengan Teruna & Dara. Selain itu, mereka juga membawakan seleksi lagu lain seperti Miss Flower Learn To Twist, Malam Pesta Rock & Roll, Bertemu Kembali, Perih Jerih, Lautan Asmara, Kasih & Sayang, Begini Jadinya, Dewi Puspita, Kecundang, Berduka Lara, Dia, Bercanda di Malam Indah dan Bunga.
Suara penonton yang bersatu menyanyi bersama mencipta momen luar biasa, seakan membuktikan betapa kuatnya ikatan Masdo dengan pendengar. Saat mereka membawakan lagu Ratu Hati, arena konsert dikejutkan dengan kehadiran ibu-ibu anggota Masdo yang menjadi tulang belakang kehidupan mereka.


Selain itu, Masdo juga menampilkan penyanyi undangan untuk memeriahkan ulang tahun ke-10 mereka. Untuk lagu Nearly Near You, Masdo menampilkan vokalis kumpulan Bittersweet, Fizan ke pentas. Bagi lagu hit Pujaanku, Masdo membawa Heidi Moru untuk berpadu suara di atas pentas. Naskhah Inilah Jalan-Nya pula menampilkan Noh Salleh yang sama-sama berpadu suara dengan Ali. Setiap persembahan terasa segar, namun tetap berakar pada semangat retro yang menjadi identiti Masdo.
Hujan juga sempat memeriahkan pentas konsert dengan membawakan lagu Aku Skandal kehadiran mereka menghangatkan malam terbabit membuatkan penonton menjerit seakan histeria.



Selain itu, Masdo sempat mempersembahkan lagu-lagu tribute yang ditujukan khas buat legenda muzik yang menjadi inspirasi muzik mereka. Medley lagu Tak Mengapa (Orkes Nirwana), Kenangan Mengusik Jiwa (A Ramlie), Selamat Tinggal Pujaan (S. Jibeng), Masmona (Jeffrydin) dan Suzanna (M. Osman) serta lagu Malam Pesta Muda Mudi (Saloma) dibawakan khas bagi hiburan peminat.
Puncak konsert hadir apabila ribuan penonton sama-sama menyanyi dan menari, menjadikan Zepp Kuala Lumpur seperti lantai tarian besar sewaktu Janji Manis dan Dinda berkumandang. Detik itu seolah-olah merakamkan perjalanan 10 tahun Masdo dalam satu simbol penuh makna, muzik mereka kini menjadi sebahagian daripada memori kolektif peminat.
Namun begitu, di sebalik sorakan dan nostalgia, ada sisi yang boleh diperkemaskan. Dari segi naratif persembahan, tayangan visual pada awal konsert agak menghiburkan, namun ia boleh ditukar dengan lebih banyak dokumentasi perjalanan peribadi ahli kumpulan bagi memberi lapisan emosi yang lebih dalam. Ini kerana sambutan 10 tahun seharusnya menjadi ruang untuk bukan sahaja meraikan lagu, tetapi juga manusia di sebaliknya.
Secara keseluruhan, konsert ini tetap menjadi titik sejarah buat MASDO. Ia menjadi sebuah refleksi tentang sejauh mana mereka telah melangkah. Pujian wajar diberikan kepada penganjur Hitman Solutions kerana berjaya menghidupkan sebuah malam yang seimbang antara hiburan dan penghargaan.
Al-Kisah Kugiran Masdo 10 Tahun bukan sekadar sebuah konsert, ia adalah penghargaan terhadap kesetiaan peminat, bukti bahawa muzik retro moden terus relevan, dan tanda bahawa Masdo masih berada di puncak kreativiti selepas sedekad.
Malam itu berjaya membuktikan mengapa kugiran ini digelar peneraju utama genre retro moden di Malaysia!




