Konsert Elite Live ’25 yang berlangsung Sabtu lalu di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur menjadi bukti nyata bahawa kumpulan wanita popular era 90-an itu masih mampu berdiri gagah di pentas hiburan.
Walaupun pernah dikecam sewaktu pengumuman konsert dibuat kerana ada yang meragui kemampuan mereka, lima anggota Elite berjaya menangkis segala keraguan dengan persembahan penuh tenaga dan keyakinan.


Sasha Saidin, Watie Sadali, Abby Abadi, Azza Zawari dan Linda Rafar menghiburkan dewan yang penuh dengan peminat setia yang terdiri daripada orang-orang lama yang membesar dengan lagu Elite serta generasi baharu.
Pada usia lewat 40-an, mereka masih membuktikan kebolehan menari, menyanyi dan berinteraksi dengan penonton. Biarpun staminanya tidak sama seperti dahulu, semangat dan kesungguhan Elite menjadi daya tarikan utama.
Konsert anjuran Icon Entertainment itu bermula dengan penuh bertenaga menerusi Ladiva dan Merbahaya, sebelum mereka menenangkan suasana dengan lagu-lagu penuh nostalgia seperti Mengerti dan Sesuatu Dalam Dirimu.


Setiap persembahan membuktikan disiplin vokal dan latihan masih dijaga rapi. Kehadiran Alpha dan X-Factor sebagai artis jemputan turut memberi variasi dan menambah kemeriahan, terutama apabila lagu duet Di Pintu Syurga dan Bertuah dilagukan dengan penuh harmoni.
Peminat juga melepaskan kerinduan dengan menyaksikan kumpulan kegilaan remaja zaman 2000-an, X-Factor yang membawakan lagu 7251364. Kehadiran lima jejaka yang masih kacak itu membuatkan seluruh dewan bersorak gembira.
Puncak malam hadir dengan dendangan Trauma dan GIG yang membuatkan penonton berdiri, menyanyi bersama dan tenggelam dalam euforia. Encore pula menutup persembahan dengan dua lagu ikonik, Tamparan Wanita dan Manisnya Senyumanmu yang menjadi tanda tangan kerjaya Elite sejak dahulu.
Namun, ada sedikit ruang penambahbaikan. Ketika sesi berbual dengan penonton, momentum konsert kadang-kadang sedikit perlahan kerana gaya mereka yang agak sedikit meleweh dan panjang. Walaupun niatnya mahu mesra dengan penonton, ia sesekali menjejaskan tempo persembahan yang sepatutnya lebih padat.
Secara keseluruhan, konsert Elite tetap meninggalkan kesan mendalam. Kelima-lima anggota tampil gigih menghiburkan dengan persembahan bertenaga, suara yang masih mantap serta semangat yang tidak luntur.
Kritikan awal yang pernah dilemparkan akhirnya terpadam, diganti dengan tepukan gemuruh dan rasa puas hati peminat. Elite membuktikan bahawa legenda tetap legenda, dan mereka masih mampu memegang status itu dengan penuh bangga.




