Ulasan Konsert: ‘Malam 3 Suara’ Satukan Rizky Febian, Fabio Asher & Anggi Marito… Kuasa Vokal Gegarkan Idea Live Arena

Ulasan Konsert: ‘Malam 3 Suara’ Satukan Rizky Febian, Fabio Asher & Anggi Marito… Kuasa Vokal Gegarkan Idea Live Arena

Konsert Malam 3 Suara yang berlangsung di Idea Live Arena, Kuala Lumpur pada Ahad membuktikan kekuatan vokal dan kejujuran emosi masih menjadi nadi utama sebuah persembahan bermakna.

Dihadiri kira-kira 4,000 penonton yang menggemari lagu galau, konsert ini tampil sebagai sebuah pengalaman muzik yang bukan sahaja menghiburkan, malah menyentuh perasaan dari awal hingga ke penghujung malam.

Dibawakan oleh Strategy X Entertainment Sdn. Bhd, konsert berdurasi lebih dua jam ini disusun rapi sebagai sebuah perjalanan emosi yang seimbang. Setiap artis diberi ruang untuk menampilkan identiti vokal tersendiri sebelum digabungkan dalam beberapa segmen kolaborasi yang menjadi kekuatan utama Malam 3 Suara.

Fabio Asher membuka tirai dengan Bertahan Terluka, terus menetapkan nada emosional yang menjadi benang merah konsert ini. Anggi Marito kemudian mengambil alih pentas dengan Cara Mencintaimu, disampaikan dengan kelembutan vokal yang mendamaikan. Momen penyatuan tiga suara hadir awal menerusi

Seterusnya, Rizky Febian muncul membawakan lagu Hingga Tua Bersama membuatkan penonton teruja. Di akhir lagu tersebut, Fabio dan Anggi muncul menyanyikan bersama, mencetuskan sorakan penonton yang menantikan detik kolaborasi itu.

Rizky Febian menampilkan pesona tersendiri melalui Seperti Kisah dan Kesempurnaan Cinta, memperlihatkan kawalan vokal yang matang serta interaksi santai dengan penonton.

Fabio pula terus menguatkan sisi balada menerusi Aku Berjanji, Tanpa Rasa Bersalah dan Berharap Kau Kembali, memperlihatkan konsistensi emosi yang kuat.

Anggi menyerlah dengan rangkaian lagu seperti Kisah Penuh Kecewa, Aku Bukan Untukmu, Cukup Pergi Saja dan Mahir Memberi Luka yang nyata menjadi antara segmen paling menyentuh perasaan malam itu.

Segmen duet dan kolaborasi yang disusun dengan baik juga membuatkan penonton teruja dan menyanyi bersama. Alamak nyanyian Fabio dan Rizky membawa nafas segar yang lebih ringan sebelum emosi kembali dipacu menerusi Indah Pada Waktunya dan Cinta Tak Pernah Tepat Waktu. Mashup Makna Cinta, Aku Tanpa Kamu dan Pelangi tampil sebagai segmen kreatif yang menyatukan identiti setiap penyanyi dalam satu aliran emosi yang harmoni.

Menjelang penghujung konsert, Selama Kau Bernafas oleh Rizky serta Tak Segampang Itu oleh Anggi bersama Rumah Singgah nyanyian Fabio mengekalkan momentum emosi penonton. Penantian Berharga yang menampilkan ketiga-tiga penyanyi menjadi penutup sempurna, membuatkan emosi penonton terbuai. Malam itu disambut dengan tepukan gemuruh daripada penonton yang jelas puas dengan keseluruhan persembahan.

Apa yang menjadikan Malam 3 Suara berbeza ialah keserasian antara tiga penyanyi yang tidak saling menenggelamkan satu sama lain. Sebaliknya, setiap suara saling melengkapi dan membina naratif bersama.

Gabungan kelembutan Anggi, kepekaan emosi Fabio dan tenaga serta karisma Rizky mencipta sebuah konsert yang terasa intim walaupun berlangsung di arena besar. Malam 3 Suara bukan sekadar sebuah konsert, tetapi sebuah pengalaman muzik yang menghiburkan!

Scroll to Top