'Ulat' Alphard tumpas di KLIA

'Ulat' Alphard tumpas di KLIA

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Sepang: Lagak mewah menaiki Toyota Alphard tidak mengaburi mata penguat kuasa apabila seorang ‘ulat’ yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa haram di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditahan dalam operasi khas, di sini, semalam.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor dalam kenyataan berkata, tangkapan dilakukan hasil intipan dan pemantauan Stesen Penguat Kuasa KLIA yang mendapati lelaki berkenaan memujuk, merayu serta menawarkan tambang RM200 kepada seorang penumpang warga Mesir untuk perjalanan ke Luxury Lucentia Residence, Bukit Bintang.

“Sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard bersama pemandu telah ditahan dan disita bagi siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati ‘ulat’ terbabit menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Menurut JPJ, tindakan diambil mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Mana-mana individu yang bersubahat dengan aktiviti ‘ulat’ ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) akta sama,” katanya.

Dalam pada itu, JPJ menasihatkan orang awam supaya menggunakan perkhidmatan pengangkutan sah melalui kaunter di Terminal 1 dan 2 KLIA atau aplikasi e-hailing.

“Sebarang aduan trafik boleh dikemukakan melalui e-mel aduantrafik@jpj.gov.my atau aplikasi e-Aduan@JPJ dengan menyertakan butiran lengkap pengadu dan aduan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top