'Ulat foto' KLCC masih berleluasa, seolah tak takut undang-undang

'Ulat foto' KLCC masih berleluasa, seolah tak takut undang-undang

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Walaupun tindakan sudah diambil oleh pihak berkuasa, namun kegiatan jurugambar tidak berlesen atau ulat foto sekitar jalan Persiaran Menara Berkembar Petronas (KLCC), di sini, masih lagi berleluasa.

Tinjauan Harian Metro di lokasi tumpuan pelancong itu malam ini mendapati, beberapa ‘ulat foto’ dilihat sibuk menawarkan perkhidmatan mereka dan mengambil gambar pelancong asing.

Pekerja swasta, Ahmad Zulfikar Mohamed, 33, berkata, sekiranya kegiatan itu dibiarkan berleluasa tanpa adanya tindakan oleh pihak berkuasa, ia akan menjejaskan sektor pelancongan negara.

Menurutnya, ‘ulat foto’ ini juga dilihat mengambil kesempatan terhadap pelancong asing menerusi perkhidmatan tidak berlesen yang dijalankan.

“Salah tetap salah. Saya sendiri sakit mata tengok kegiatan itu.

“Kasihan kepada pelancong disebabkan kegiatan mereka ini.

“Mereka akan rasa terancam disebabkan ada dalam kalangan ‘ulat foto’ ini mengekori pelancong asing sehingga perkhidmatan mereka digunakan,” katanya ketika ditemui Harian Metro, hari ini.

Ahmad Zulfikar yang tinggal di Kempas, Johor berkata, pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga seharusnya menempatkan anggota mereka di lokasi yang menjadi tumpuan ‘ulat foto’ ini setiap hari.

“Baru dia takut dan kita nampak adanya perubahan (dengan tiadanya kegiatan ‘ulat foto’),” katanya.

Selain itu katanya, orang ramai yang berada di lokasi juga disaran untuk menggunakan ‘kuasa’ mereka dengan menularkan kegiatan ini.

“Dunia sekarang semuanya viral. Sentiasa buat hantaran berkaitan seperti gambar atau berita.

“Bila viral, ini akan menjadi ancaman kepada mereka. Setakat polis tangkap, kemudian mereka akan datang dan buat balik.

“Kena viralkan kegiatan mereka ini dan ia merupakan senjata kita untuk membasmi mereka,” katanya.

Seorang lagi pekerja swasta, Nur Azwa Aris, 30, berkata, kerajaan perlu mengetatkan lagi undang-undang bagi membasmi kegiatan ini.

“Antara yang boleh dilakukan adalah dengan meningkatkan lagi denda kepada ‘ulat foto’ ini.

“Berkemungkinan, denda yang dikenakan kepada mereka rendah menyebabkan mereka tidak serik menjalankan aktiviti berkenaan.

“Kerajaan seharusnya mengambil berat mengenai perkara ini kerana kegiatan seperti ini juga merencatkan ekonomi pelancongan negara kita.

“Pelancong asing juga akan berasa takut untuk mengunjungi negara ini semula dengan pengalaman yang dilalui oleh mereka menerusi kegiatan ‘ulat foto’ ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top