firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpu: Kumpulan penyokong tegar Red Giants, Ultras Selangor dikenakan larangan hadir ke stadium berkuatkuasa aksi menentang Negeri Sembilan FC dalam saingan Piala Malaysia di gelanggang lawan malam esok.
Tindakan itu diambil pengurusan kelab Selangor FC (SFC) ekoran insiden membabitkan Ultras Selangor di Kuala Terengganu pada 1 Februari lalu.
Dalam insiden itu, penyokong Ultras Selangor ditahan pihak polis susulan mengganggu ketenteraman awam apabila berarak dan membakar suar di perkarangan Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu.
Menerusi satu kenyataan media, pengurusan kelab menjunjung kasih titah perintah dan cadangan Sultan Selangor selaku Penaung Diraja Selangor dan mengambil kira nasihat dan pandangan Raja Muda Selangor selaku pengerusi kelab berhubung insiden berkenaan.
Justeru, SFC mengambil langkah dengan tidak membenarkan Ultras Selangor hadir untuk tiga aksi bermula dari 8 hingga 22 Februari.
Larangan itu terpakai untuk dua aksi suku akhir Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan FC dan juga bagi aksi Liga Super menentang Kuching City FC.
Malah, SFC turut memaklumkan individu yang disabitkan dengan dakwaan penyalahgunaan dan pemilikan dadah juga dilarang hadir ke stadium selama tiga tahun berkuatkuasa serta-merta.
“Selangor FC juga menyeru agar semua penyokong terus menyokong kelab secara bertanggungjawab dan saling menghormati untuk memelihara keselamatan awam, imej kelab dan masa depan bola sepak tempatan,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Pengurusan skuad Merah Kuning percaya Ultras Selangor akan mengambil iktibar atas apa yang berlaku dan berharap mereka akan kembali ke stadium dengan semangat baharu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




