lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Universiti Malaya (UM) diminta menyelesaikan kemelut dengan sebuah pertubuhan pelajar berkaitan penggunaan logo universiti berkenaan secara baik, termasuk menerusi rundingan.
Ia berhubung perkembangan terkini yang melibatkan isu surat tuntutan atau Letter of Demand (LOD) yang dihantar oleh pihak UM kepada pertubuhan pelajar terbabit.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau sudah mendapatkan penjelasan daripada pihak pengurusan UM bagi memahami secara lebih terperinci perkara yang berlaku.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berpandangan isu seperti itu wajar ditangani melalui pendekatan yang lebih konstruktif serta berhemah.
“Perkara berkaitan penggunaan identiti atau logo universiti sekiranya menimbulkan kekeliruan atau pelanggaran prosedur sepatutnya diselesaikan terlebih dahulu melalui perbincangan antara pihak universiti dan pelajar.
“Pendekatan dialog dan rundingan adalah lebih selari dengan semangat ekosistem universiti yang berteraskan keterbukaan, pendidikan serta pembangunan kepimpinan mahasiswa.
“Saya juga berpandangan perkara seperti ini tidak seharusnya dipanjangkan sehingga ke peringkat tindakan undang-undang sekiranya masih terdapat ruang untuk penyelesaian secara baik antara kedua-dua pihak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kelmarin, media melaporkan UM mempertahankan keputusannya mengeluarkan surat tuntutan pemberhentian (cease-and-desist) kepada sebuah kumpulan pelajar, dengan menyatakan bahawa langkah itu bertujuan melindungi imej dan reputasi universiti itu.
Dalam satu kenyataan, UM berkata, surat itu dikeluarkan susulan aduan daripada pelajar dan orang awam yang berasakan tindakan kumpulan terbabit boleh menjejaskan reputasi universiti.
Dalam masa sama, Zambry menegaskan persatuan atau gerakan pelajar yang aktif perlu sentiasa menghormati peraturan serta garis panduan yang ditetapkan oleh pihak universiti.
Katanya, perkara itu termasuk aspek penggunaan nama, logo serta identiti rasmi institusi pengajian tinggi berkenaan.
“Sekiranya terdapat persatuan yang tidak berdaftar, pihak universiti juga boleh mengambil pendekatan yang lebih mendidik dengan memanggil serta memberikan panduan yang sewajarnya kepada mereka.
“Saya berharap pihak UM akan mengambil langkah lebih proaktif dan konsultatif dalam menangani isu ini.
“Pada masa sama, pihak pelajar juga diharapkan dapat mendekati perkara ini dengan sikap terbuka serta semangat untuk mencari penyelesaian terbaik demi kepentingan bersama,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




