suliati@hmetro.com.my
MINAT terhadap geografi mungkin bermula dengan peta dalam buku teks, namun bagi sekumpulan pelajar ini, ia berkembang menjadi satu usaha memahami dunia sebenar.
Dengan minat dan matlamat sama iaitu memahami dunia melalui lensa geografi, seramai 30 pelajar sekolah menengah dari pelbagai negeri berhimpun di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Daerah Gombak dalam ‘Malaysian Geography Olympiad’ (MyGeo) 2026.
Program itu adalah peringkat kedua dalam proses pemilihan wakil negara ke ‘International Geography Olympiad’ (iGeo), sekali gus membuka ruang kepada pelajar untuk melangkah ke pentas antarabangsa.
Bagi peserta, penyertaan dalam MyGeo itu bukan sekadar pertandingan akademik biasa, sebaliknya pengalaman yang menuntut pemerhatian, analisis dan kefahaman mendalam mengenai bagaimana manusia, tempat dan persekitaran saling berinteraksi.
Pensyarah Kanan Jabatan Geografi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Dr Amirah Sariyati Mohd Yahya berkata, geografi sering dilihat sebagai subjek berkaitan peta dan lokasi semata-mata.
“Hakikatnya, geografi membantu kita memahami hubungan antara manusia, tempat dan perubahan yang berlaku dari semasa ke semasa.
“Melalui pertandingan ini, pelajar bukan sahaja diuji daripada segi pengetahuan, tetapi juga dilatih untuk berfikir secara analitikal dan melihat isu dunia sebenar dari pelbagai perspektif,” katanya.
MyGeo adalah satu daripada beberapa peringkat saringan sebelum pelajar terbaik negara dipilih untuk mewakili Malaysia ke iGeo.
Secara keseluruhannya, proses pemilihan ini bermula dengan program ‘Geography Explorer’ di peringkat sekolah rendah dan menengah, diikuti oleh MyGeo, ‘Selection Camp’ dan seterusnya Kem Kebangsaan Olimpiad Geografi yang menentukan empat wakil negara.
Malaysia mula menyertai iGeo pada 2023 dan dalam tempoh singkat, berjaya menempatkan diri dalam kelompok 20 pasukan terbaik daripada 45 negara yang bertanding.
Pencapaian ini mencerminkan potensi besar pelajar tempatan dalam bidang geografi, serta keberkesanan usaha memperkenalkan platform kompetitif seperti MyGeo di peringkat kebangsaan.
Dr Amirah berkata, melalui pertandingan ini, pelajar didedahkan kepada pelbagai bentuk penilaian yang menguji bukan sahaja pengetahuan teori, tetapi juga kemahiran praktikal seperti interpretasi data, pemetaan, serta analisis isu semasa.
“Pendekatan ini selari dengan keperluan semasa yang menuntut generasi muda berfikir secara kritikal dan mampu mengaitkan ilmu dengan realiti global.
“Melalui pertandingan seperti ini juga, pelajar bukan sahaja diuji daripada segi pengetahuan, tetapi juga dilatih untuk berfikir secara analitikal dan melihat isu dunia sebenar dari pelbagai perspektif,” katanya.
Pada masa sama, pertandingan seperti MyGeo turut membuka ruang kepada pelajar untuk melihat geografi sebagai bidang yang merentas disiplin.
Daripada geografi ekonomi dan politik, hingga kepada geografi bencana dan pelancongan, bidang ini menghubungkan elemen sains dan kemanusiaan dalam satu kerangka yang menyeluruh.
Pendedahan awal kepada bidang ini penting dalam membentuk generasi yang lebih peka terhadap isu global seperti perubahan iklim, pembangunan mampan dan ketidaksamaan wilayah.
Ia juga memberi peluang kepada pelajar untuk meneroka potensi kerjaya dalam pelbagai sektor yang berkait rapat dengan analisis ruang dan perancangan masa depan.
Dr Amirah berkata, walaupun hanya 30 pelajar mengambil bahagian pada peringkat MyGeo tahun ini, usaha seperti ini membawa makna lebih besar.
Menurutnya, ia bukan sekadar memilih wakil negara, tetapi membina asas minat, keyakinan dan keupayaan dalam kalangan pelajar untuk memahami dunia dengan lebih mendalam.
“Dalam jangka panjang, platform seperti ini diharapkan dapat terus memperkukuh kedudukan geografi sebagai satu bidang yang relevan dan penting.
“Bukan sahaja dalam sistem pendidikan, tetapi juga dalam membentuk masyarakat yang lebih berpengetahuan dan berdaya saing.
“Barangkali, daripada langkah kecil di PPAS Gombak ini, akan lahir generasi baharu yang bukan sahaja mampu membaca peta, tetapi juga memahami dunia yang sedang berubah di sekeliling mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




