UM Siasat Dakwaan Pensyarah Kanan Dikaitkan Dengan Freemason | Trending – Oh! Media

UM Siasat Dakwaan Pensyarah Kanan Dikaitkan Dengan Freemason | Trending – Oh! Media

Trending

Orang ramai dinasihat tidak menyebar maklumat yang belum disahkan.


Sebelum ini tular di media sosial, seorang pensyarah kanan Universiti Malaya (UM) didakwa kononnya adalah pengikut kumpulan Freemason.

Susulan itu, pihak UM tampil memberikan penjelasan rasmi berhubung isu berkenaan serta tindakan yang telah diambil.

UM mula siasatan dalaman

Menerusi kenyataan media Universiti Malaya, mereka mengambil maklum mengenai isu yang sedang tular melibatkan pensyarah kanan universiti tersebut.

Menurut UM, siasatan dalaman telah dimulakan bagi mendapatkan gambaran menyeluruh dan meneliti perkara berkenaan secara adil serta telus, selaras dengan peruntukan undang-undang dan peraturan universiti yang berkuat kuasa.

Dalam kenyataan itu, orang ramai turut dinasihatkan agar memberi ruang sepenuhnya kepada proses siasatan dan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan.

Langkah ini penting bagi menjaga integriti siasatan serta privasi semua pihak yang terlibat. UM turut menegaskan komitmen mereka untuk memastikan setiap perkara ditangani secara profesional, beretika dan bertanggungjawab, selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik.

Buat masa ini, tiada maklumat lanjut didedahkan dan semua pihak diminta menunggu hasil siasatan rasmi universiti.

Siapa Freemason?

Freemason atau Freemasonry ialah sebuah pertubuhan persaudaraan antarabangsa yang sudah wujud sejak ratusan tahun lalu.

Ia bermula sekitar abad ke-16 hingga ke-17 di Eropah dan pada asalnya berkait dengan persatuan tukang batu (stonemasons) yang membina bangunan besar seperti katedral. Lama-kelamaan, ia berkembang menjadi organisasi persaudaraan yang menekankan nilai moral, etika, kebajikan dan pembangunan diri.

Dalam konteks Islam pula, terdapat pandangan dan fatwa di beberapa negara yang tidak membenarkan umat Islam menyertai Freemasonry kerana unsur rahsia dan pegangan tertentu yang dianggap bercanggah dengan akidah.

Pssttt! Penyebaran maklumat tanpa pengesahan bukan sahaja boleh menjejaskan reputasi, malah memberi kesan kepada banyak pihak. Kita serahkan kepada pihak berwajib untuk jalankan tanggungjawab mereka dengan adil dan telus.

Kredit: Universiti Malaya
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.

** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.

author avatar

Farhan adalah perancang strategik untuk tim Oh! Media yang gemar menulis segmen politik dan tidak ketinggalan meneroka isu-isu semasa. Dengan kepakaran dan minat mendalam, Farhan memastikan setiap penulisannya memberikan perspektif yang bernas dan menarik.

Scroll to Top