Umairah Kini Lebih Matang, Tak Terasa dengan Komen Negatif

Umairah Kini Lebih Matang, Tak Terasa dengan Komen Negatif

Penyanyi remaja berbakat, Umairah, 14, kini tidak lagi mudah terguris dengan komen negatif netizen.

Lebih mesra disapa sebagai Umai, anak saudara kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza ini memilih untuk berfikiran positif dan tidak mengambil serius kata-kata negatif yang dilemparkan kepadanya di media sosial.

“Mulut orang memang tak boleh ditutup, tapi lama-lama saya belajar untuk tak ambil hati. Kadang-kadang bila baca komen, saya rasa kelakar saja,” katanya dengan tenang.

Menurut Umairah, dia lebih suka melihat komen sebagai satu bentuk dorongan daripada sesuatu yang melemahkan semangatnya.

“Saya suka baca komen dan anggap ia sebagai motivasi. Saya tak pernah fikir secara negatif,” ujarnya lagi.

Sejak kemunculannya di televisyen, ada yang berpendapat dia meniru gaya nyanyian Mak Iti (panggilan Siti Nurhaliza), namun Umairah menegaskan nyanyian sudah sebati dalam hidupnya sejak kecil.

“Saya menyanyi bukan kerana nak tiru Mak Iti, tetapi memang sudah minat sejak kecil. Mak Iti memang menjadi inspirasi saya, dan keluarga juga selalu menyokong.

“Kalau ada yang kata suara saya sama, itu di luar kawalan saya. Lagipun, ini sudah darah daging. Lenggok dan alunan suara saya memang begitu, walaupun tidaklah 100 peratus sama. Suara emak saya pun lebih kurang juga,” jelasnya.

Umairah ditemui ketika majlis pelancaran lagu Tak Balik Raya yang berlangsung di Pavilion Kuala Lumpur pada Rabu.

Walaupun menerima pelbagai komen, Umairah tetap bersyukur kerana sokongan keluarga menjadi kekuatan utamanya, terutama neneknya, Siti Salmah Bachik, yang sering menasihatkannya agar tidak terlalu memikirkan apa yang diperkatakan orang lain.

“Sejak kecil saya memang mudah tersentuh, tapi dengan adanya keluarga di sisi, saya dapat menghadapinya.

“Nenek selalu pesan jangan baca komen, tapi saya degil. Lama-lama saya jadi lebih kuat dan tak ambil hati lagi,” katanya.

Ibunya, penyanyi Siti Saerah, juga sering memberi nasihat kepadanya agar tidak terlalu memikirkan kata-kata negatif.

“Ibu saya jenis tak kisah. Dia selalu cakap, biarlah orang nak kata apa, kita teruskan hidup. Kalau ada komen yang menyakitkan hati, saya takkan biarkan ia melemahkan semangat saya. Tapi kalau dah melampau sangat, saya ‘block’ saja,” tambahnya.

Untuk rekod, pada Januari lalu, Umairah yang menjuarai World Championships of Performing Arts (WCOPA) 2024 di Los Angeles, Amerika Syarikat, telah dipilih sebagai artis pertama di bawah naungan SN Legacy Sdn Bhd, syarikat milik Siti Nurhaliza, dengan kontrak selama lima tahun.

Scroll to Top