Umar kongsi keputusan cemerlang SPM di pusara ibu

Umar kongsi keputusan cemerlang SPM di pusara ibu

lokman.khairi@hmetro.com.my

Mersing: “Saya menangis di kubur ibu pagi tadi kerana tak menyangka peroleh keputusan Semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” kata Umar Mukhtar Ahmad Shanawey.

Umar Mukhtar, 18, adalah pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Muadzam Shah, Pahang yang kehilangan ibu tercinta, Wan Syazana Wan Mansor dalam kemalangan jalan raya pada 2014 dan ketika itu dia baru berusia enam tahun.

Menurutnya, sebelum pengumuman keputusan SPM pagi tadi, dia terlebih dahulu ke pusara ibunya di Kampung Belukar Juling, Endau di sini, memandangkan hari ini juga adalah hari ulang tahun kelahirannya yang ke-18.

“Saya memang tak rancang nak ambil slip keputusan di sekolah sebab terlalu gementar, jadi pagi tadi saya pergi kubur ummi, duduk dan ‘berbual’ dengan dia.

“Saya doa banyak-banyak dan buka keputusan (secara Online) di situ. Bila tengok saya dapat 9A, saya terus menangis di depan kubur ummi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Umar, keputusan itu jauh melebihi jangkaannya kerana dia hanya menyasarkan pencapaian sederhana.

“Sejujurnya saya tak sangka dapat semua A. Saya rasa macam tak percaya, terus rasa sebak dan bersyukur sangat,” katanya.

Pelajar aliran sains tulen itu berkata, keputusan berkenaan juga menunjukkan peningkatan berbanding peperiksaan percubaan sebelum ini apabila memperoleh 7A dan 2B+.

Katanya, kejayaan itu didorong sokongan kuat ahli keluarga terutama bapanya, Ahmad Shanawey Roslan, 41, yang mengusahakan ladang serta menternak haiwan untuk menyara 10 anak.

Menurutnya, bapanya turut terharu dengan pencapaian itu sehingga tidak mampu berkata apa-apa sebaik dimaklumkan mengenai keputusan berkenaan.

“Bila saya tunjuk keputusan, ayah nampak tergamam dan kemudian ucap Alhamdulillah. Saya nampak dia sebak, tapi tak cakap banyak,” katanya.

Umar berkata, kerinduannya terhadap arwah ibu yang meninggal dunia pada usia 27 tahun tidak mungkin dapat dipadam dan setiap kegembiraan mahupun kesedihan akan dikongsi dengan arwah.

“Walaupun saya masih kecil waktu itu, kehilangan ummi sangat memberi kesan dalam hidup saya. Hari ini saya rasa macam nak kongsi kegembiraan ini dengan ummi,” katanya.

Umar berkata, dia berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang sains aktuari dan sedang memohon beberapa institusi termasuk Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), program matrikulasi serta Institut Pendidikan Guru (IPG).

“Saya minat bidang sains aktuari dan akan cuba capai cita-cita itu, Insya-Allah.

“Dalam masa sama, saya turut bernazar untuk melaksanakan ibadah korban seekor kambing sebagai tanda kesyukuran atas kejayaan diperoleh.

“Saya akan kumpul duit untuk tunaikan nazar itu nanti. Ini sebagai tanda syukur atas rezeki yang Allah beri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top