Umat Islam di Singapura, Indonesia, Kemboja mula puasa Khamis

Umat Islam di Singapura, Indonesia, Kemboja mula puasa Khamis

Singapura: Umat Islam di Singapura, Indonesia dan Kemboja akan mula berpuasa pada Khamis, 19 Feb.

Mufti Singapura Dr Nazirudin Mohd Nasir berkata mengikut kiraan hisab, anak bulan Ramadan tidak berada di atas ufuk Singapura ketika matahari terbenam petang Selasa kerana bulan telah terbenam 4 minit lebih awal daripada matahari.

Nazirudin berkata Rabu melengkapkan bulan Syaaban selama 30 hari.

“Sehubungan itu, sukacita saya mengisytiharkan bahawa awal bulan Ramadan bagi tahun 1447H jatuh pada lusa, Khamis, bersamaan 19 Feb 2026,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mufti itu turut mengucapkan selamat menyambut Ramadan kepada seluruh masyarakat Islam di Singapura.

“Marilah kita merebut peluang ini untuk menjadi Muslim yang lebih cemerlang dengan ketekunan beribadah dan juga dengan kesyukuran, keihsanan, kesopanan dan kesantunan dalam urusan sesama kita,” tambah beliau.

Di INDONESIA, Menteri Hal Ehwal Agama Nasaruddin Umar mengumumkan bahawa keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Isbat yang diadakan pada Selasa (17 Feb) bagi menentukan tarikh permulaan Ramadan, dengan mengambil kira perhitungan astronomi (hisab) dan cerapan anak bulan yang disahkan pegawai di 96 lokasi cerapan di seluruh negara.

“Justeru, berdasarkan perhitungan astronomi dan tiada laporan kenampakan anak bulan, 1 Ramadan jatuh pada Khamis, 19 Feb,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi akaun YouTube Kementerian Hal Ehwal Agama.

Isbat ialah forum rasmi kerajaan bagi mengesahkan permulaan bulan-bulan Islam. Sesi itu diadakan di Auditorium Rasjidi, bangunan Kementerian Hal Ehwal Agama dan dipengerusikan oleh Nasaruddin.

Peserta termasuk wakil pertubuhan Islam, kedutaan negara majoriti Islam, Majlis Ulama Indonesia, Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), pakar falak, anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) serta wakil Mahkamah Agung.

Sementara itu, di KEMBOJA, Majlis Tertinggi Hal Ehwal Agama Islam turut mengumumkan pada Selasa bahawa umat Islam di negara itu akan mula berpuasa pada Khamis.

Terdapat lebih 800,000 umat Islam atau kira-kira lima peratus daripada 17 juta penduduk Kemboja yang majoritinya beragama Buddha.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top