Ummi Nazeera jadi pilihan BCF

Ummi Nazeera jadi pilihan BCF

KUALA LUMPUR – Sebut sahaja nama aktres Ummi Nazeera, memang tidak dapat dipertikaikan lagi mutu lakonannya.

Dia boleh dikategorikan dalam pelakon kelas A, kalau watak air mata, beri sahaja kepada wanita berusia 33 tahun ini pasti penonton turut dibanjiri dengan air mata.

Malah siapa boleh lupa lakonan Ummi Nazeera sebagai Salina dalam drama Rindu Kasih mendapat perhatian ramai terutamanya dalam babak pergaduhannya bersama ibu mentua yang dilakonkan Fazlina Datuk Ahmad Daud.

Gara-gara populariti ibu beranak dua itu, dia kini menjadi duta jenama empayar produk muslimah yang mudah dan mampu milik, By Chefiza (BCF)

Pengasas By Chefiza Sdn. Bhd., Che Nurul Hafizah Che Zulkifli berkata, pemilihan Ummi Nazeera sebagai duta disebabkan dia menepati konsep jenama By Chefiza (BCF) iaitu bersahaja, mematuhi syariah dan menepati profil syarikatnya.

“Dengan perlantikan Ummi Nazeera sebagai duta, ditambah lagi dengan kempen raya yang bakal menampilkan dia yang kini popular menerusi drama Rindu Kasih, BCF yakin dapat meraih kepercayaan lebih ramai wanita di luar sana,” katanya pada  majlis pelantikan duta baharu BCF di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Che Nurul Hafizah turut memberitahu, pihaknya turut menyasarkan ualan pelbagai produk keluarannya seperti tudung, stoking, stoking tangan, inner neck dan snowcap mencecah kepada RM32 juta tahun ini.

Beliau berkata, berbanding tahun lalu, jualan yang dicatat adalah sebanyak RM28 juta dan peningkatan ini bakal disumbangkan daripada aktiviti promosi yang dipertingkatkan pada tahun 2023, pertambahan bilangan pengedar dan juga strategi pemasaran yang lebih efektif melalui program Go To Market.

BCFyang beribu pejabat di Kota Bharu, Kelantan dan memiliki sebuah kilang pengeluaran di Pengkalan Chepa dengan disokong oleh lebih 60 tukang jahit itu memiliki enam buah cawangan di seluruh negara. – MalaysiaGazette