norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Walaupun kini bertubuh kurus, namun pelakon, Ummi Nazeera, 33, pernah berhadapan diejek fizikal atau ‘body shaming’ kerana badan berisi oleh rakan sekolah ketika berusia 11 tahun.
Ummi atau nama sebenarnya, Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin berkata, isu ‘body shaming’ ini adalah benda lama sebagaimana yang pernah dilaluinya pada zaman persekolahan.
“Dulu semasa sekolah, badan saya agak berisi dan tinggi. Tapi, ada juga kawan-kawan ejek saya dan sampai panggil Godzilla. Masa itu, saya ingat lagi baru berusia 11 tahun.
“Badan saya sebenarnya taklah begitu besar pun, tapi saya tinggi. Cuma, bila yang cakap itu budak lelaki, memang saya tak nafikan rasa sangat ‘triggered’ juga ketika itu,” katanya kepada Harian Metro.
Ummi berkata, ejekan fizikal yang dihadapinya itu bagaimanapun menjadikan dia kuat untuk memperbaiki kekurangan diri ke arah lebih baik supaya tidak terus diperlekehkan oleh orang lain.
Terdahulu, Ummi yang juga ibu dua anak perempuan itu ditemui hadir pada sidang media drama Andai Tiada Dia arahan Riza Baharudin untuk tayangan Astro Ria di Restoran Rebung, di sini, semalam.
Mengakui dia tidak gemar dengan isu ‘body shaming’ terutama jika berlaku di sekolah, Ummi berkata, sesiapa yang menjadi mangsa perkara sebegitu jangan cepat rasa ‘down’ tetapi segera bangkit memperbaiki diri.
“Saya sangat tidak setuju dengan ‘body shaming’ yang berlaku di sekolah. Sebab itu, bila saya diejek ketika usia 11 tahun dan pada usia 12 tahun pula, saya terus kurus.
“Apapun ketika diejek, saya tidak pernah memberi sebarang maklum balas terhadap individu yang mengejek itu. Saya biarkan saja, tapi dalam diri dah ada semangat baharu,” katanya.
Menurut Ummi, sekarang dia gembira tidak lagi menerima ejekan termasuk kritikan berbaur ‘body shaming’ sebagaimana dulu dan rasa amat bersyukur.
“Sekarang selagi berat badan saya masih dalam BMI (Body Mass Index) normal, saya dah gembira dan syukur. Saya tak kena ‘body shaming’ lagi, tapi ramai pula yang minta pada saya tips turunkan berat badan,” katanya.
Ummi yang melakonkan watak Suri dalam drama Andai Tiada Dia itu, turut berganding dengan pelakon lain seperti Hisyam Hamid, Mimi Lana, Zahiril Adzim, Kodi Rasheed, Lan Siro dan ramai lagi.
Menggalas watak isteri teraniaya yang suami ‘disondol’ adik sendiri, watak Suri banyak bermain emosi dan fizikal yang kuat kerana pada masa sama menguruskan anak yang masih kecil.
© New Straits Times Press (M) Bhd




