syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon dan pelawak Indonesia, Ummi Quary mengakui terlepas peluang untuk terbabit dengan satu program realiti popular di Malaysia gara-gara terlupa membalas mesej jemputan yang diterima menerusi media sosialnya.
Ummi atau nama sebenarnya, Ummi Kulsum Qotrun Nada, 24, berkata, dia tidak sengaja mengabaikan mesej itu kerana menyangkakan segala urusan seharusnya dilakukan melalui pihak pengurusannya.
“Saya pernah dapat undangan pada tahun ini untuk satu program realiti besar di Malaysia, tapi saya lupa apa namanya.
“Ketika itu mereka menjemput saya untuk menjadi tetamu jemputan dalam satu episod. Mereka ada mesej saya di media sosial, tapi saya lupa untuk balas.
“Jika diikutkan, urusan jemputan itu perlu melalui pengurus, jadi saya memang terlupa untuk balas,” katanya kepada Harian Metro.
Pelakon kelahiran Bekasi, Jawa Barat itu bagaimanapun berterima kasih kepada pihak produksi yang mengenali bakatnya dan sanggup menjemputnya menyertai program berkenaan.
“Apapun saya ucapkan terima kasih kerana sampai ke Malaysia ada yang melihat dan tahu mengenai saya. Sekiranya ada lagi tawaran di Malaysia, saya sangat berbesar hati dan sama sekali tak akan menolak.
“Sekiranya waktu sesuai dan saya tiada kegiatan lain, saya sangat terbuka dan bangga untuk datang ke Malaysia,” katanya.
Terbaharu, Ummi kini membintangi filem komedi seram, Gerbang Setan yang turut menampilkan barisan pelawak legenda seperti Cak Lontong, Eman dan Ginanjar daripada kumpulan Empat Sekawan, Komeng, Akbar Kobar, Jarwo Kwat, MC Danny dan ramai lagi.
Filem arahan pengarah Toto Hoedi itu akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 7 Ogos ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd