UMNO akan tubuh Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa bagi penyertaan semula bekas ahli

UMNO akan tubuh Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa bagi penyertaan semula bekas ahli

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: UMNO mengumumkan akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa bagi menerima kemasukan atau penyertaan semula bekas ahli parti itu.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penyertaan semula itu boleh dilakukan secara individu atau en bloc (serentak).

“UMNO adalah rumah buat semua bertaut kembali, saat ada yang hilang arah, saat ada yang semakin rebah… kembalilah… kembalilah…. Bak kata pepatah, sesat di hujung jalan, kembali ke pangkal jalan.

“Untuk itu, pintu Rumah Bangsa ini sentiasa terbuka luas. Di sini kita dilahirkan, di sini kita dibesarkan. Di sini jugalah kita mengadun erti perjuangan,” katanya semasa ucapan Dasar Presiden UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Ucapannya itu juga turut mendapat sorakan dan tepukan lebih 6,000 perwakilan yang hadir.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, gagasan payung besar orang Melayu pernah cuba dibina tanpa UMNO, namun sejarah membuktikan ia tidak mendapat sambutan.

“Payung itu rebah kerana tidak berpaut kepada rumah asalnya. Kenapa perlu kepada payung, andai rumah sudah tersergam indah.

“Sejarah rumah bangsa ini tidak akan pernah terpadam. Dari rumah inilah lahirnya pelbagai parti dan gerakan politik Melayu – PAS, Semangat 46, PKR, BERSATU, PEJUANG, WARISAN, GRS, bahkan GPS telah turut berkongsi satu roh kenegaraan.

“Ada yang lahir dari konflik dan kekecewaan, ada yang muncul akibat

perbezaan hala tuju dan wadah yang tidak selaras,” katanya.

Beliau juga membangkitkan persoalan sampai bila mereka perlu bersengketa, sedangkan bangsa Melayu sedang terluka.

“Tatkala patah sayap bertongkatkan paruh, UMNO mesti tampil sebagai

peneraju. Jika perpecahan terus dibiarkan, yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu.

“Maka UMNO harus menjadi jambatan, menyambung ukhuwah yang retak, menyatukan suara yang berselerak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top