nooratiqah.sulaiman@bh.com.my
Kuala Lumpur: UMNO dan Barisan Nasional (BN) menegaskan pendirian untuk tidak bergerak secara solo dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan datang.
Sebaliknya, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti berkenaan akan kekal menjalin kerjasama dengan Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik negara.
Katanya, meskipun terdapat desakan dan suara-suara tertentu yang menggesa UMNO-BN bergerak secara solo, namun keputusan parti adalah jelas untuk terus menjalinkan kerjasama.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata walaupun jalinan kerjasama itu diteruskan tetapi partinya berpendirian untuk kekal menggunakan lambang dacing ketika pilihan raya.
“Untuk masa depan, kita tidak akan (bergerak) solo, walaupun ada suara yang mahu kita berbuat demikian.
Tapi kita tetap guna lambang BN, namun dalam masa yang sama kerjasama dengan parti-parti lain tetap berjalan.
“Inilah yang dikehendaki oleh ahli UMNO dan sudah pastinya, parti lain seperti MIC dan MCA juga mahu gunakan lambang yang sama.
“Walaupun kita dengarlah suara-suara (tidak mahu guna lambang BN), tetapi selagi kepimpinan utama dalam politik kerjasama (political coalition) ini mahu (gunakan lambang BN), kita anggaplah (suara yang tidak mahu) sebagai pendapat peribadi,” katanya dalam ucaptama sempena BN Forum ke-6 dengan tajuk Masa Depan Politik Kerjasama Malaysia, hari ini.
Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, meskipun UMNO dan BN kekal kerjasama dengan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16, namun beliau berkata sebarang strategi politik selepas pilihan raya itu akan ditentukan berdasarkan prestasi semua pihak.
“Selepas itu kita tidak tahu kita dapat berapa (kerusi), mereka dapat berapa. Tapi ingat, di Malaysia ini lazimnya perbezaan pandangan berdasarkan warna parti adalah nostalgia. Kita sanggup lupakan warna yang berbeza demi kestabilan politik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd