UMNO cadang pembentukan kerjasama agung, satukan parti politik Melayu-Islam

UMNO cadang pembentukan kerjasama agung, satukan parti politik Melayu-Islam

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: UMNO hari ini mencadangkan satu pembentukan kolaborasi agung bagi menyatukan seluruh parti politik Melayu-Islam di negara ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun berkata, kerjasama agung parti politik Melayu-Islam itu tidak berhasrat untuk menggugat Kerajaan Perpaduan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita mahu supaya kerjasama agung ini benar-benar dapat menyatukan roh dan perjuangan parti Melayu-Islam dalam kerangka lebih besar.

“Kita tidak mahu mana-mana parti yang akan menyertainya membubarkan parti mereka, sebaliknya bergabung dan bersama-sama secara tidak rasmi terlebih dahulu sebagai langkah awal dan menjadikannya sebagai satu gabungan besar.

“Dengan adanya kerjasama agung ini, kita akan mengenepikan warna-warna yang berbeza dalam kalangan kita demi Islam dan demi Melayu kerana kita harus berada dalam satu bumbung yang sama,” katanya semasa ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut memberi jaminan kepada Anwar, beliau tidak mempunyai sebarang agenda terhadap cadangan dikemukakan itu.

“Saya tidak ada agenda untuk tubuh akta atau mahu menggugat Kerajaan Perpaduan. Hanya semata-mata persetujuan untuk menterjemahkan keikhlasan UMNO untuk merangkul semua parti Islam dan parti Melayu berada satu bumbung demi kepentingan dan menterjemahkan agenda Islam dan agenda Melayu,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut memaklumkan UMNO akan menyerap Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) pimpinan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

“Ada parti kecil yang mahu menyertai kita. Saya telah bercakap dengan Presiden Parti IKATAN, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang ada di sana (sebagai pemerhati).

“Beliau mahu menyerahkan partinya kepada kita untuk diserapkan. Begitu juga ada sebuah parti dulu ‘bercium mulut’ dalam gabungan, tapi ada pemimpin partinya yang telah ‘taubat nasuha’ dan mahu menyertai UMNO semula. Kita terima mereka,” katanya.

Beliau turut mengumumkan pelantikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top