asyikin.mat@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: UMNO menggesa Jabatan Peguam Negara menjelaskan dengan segera asas undang-undang bagi penangguhan pelaksanaan tahanan di rumah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, bagaimanapun UMNO menghormati kedudukan Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang utama kerajaan.
Beliau berkata, UMNO menjunjung kuasa pengampunan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Titah pengampunan bersyarat dan perintah Mahkamah Tinggi hendaklah dihormati serta diberi kesan menurut undang-undang.
“UMNO memandang serius persoalan ketidakselarasan pendirian Jabatan Peguam Negara yang dibangkitkan pihak peguam.
“Bayaran denda RM50 juta sudah direkodkan, Mahkamah Tinggi turut mengeluarkan perintah dan kediaman Datuk Seri Najib diwartakan sebagai penjara mengikut Akta Penjara 1995.
“Selepas perintah mahkamah dikeluarkan, Jabatan Peguam Negara menyatakan pelaksanaan tahanan di rumah wajar ditangguhkan sementara bagi mendapatkan kepastian undang-undang,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Azalina berkata, pembayaran denda adalah salah satu syarat bagi pelaksanaan tahanan di rumah.
Oleh itu, katanya UMNO berpandangan wajar dijelaskan mengapa isu tafsiran itu hanya dibangkitkan secara terbuka selepas bayaran direkodkan dan perintah mahkamah dikeluarkan.
“Peguam Negara mempunyai peranan dalam proses Lembaga Pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Mengambil kira peranan itu, UMNO berpandangan penjelasan sewajarnya perlu diberikan mengenai bila persoalan tafsiran itu dikenal pasti dan bagaimana ia ditangani, tertakluk kepada kehendak undang-undang serta kerahsiaan yang terpakai,” katanya.
Terdahulu, UMNO mengesahkan sudah menyelesaikan segala proses pembayaran kepada pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pagi tadi, sebagai syarat untuk Najib menjalani tahanan di rumah.
Dalam pada itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) berpendirian pelaksanaan tahanan di rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, wajar ditangguhkan sementara.
Menurut AGC penangguhan itu dibuat bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Sementara itu, pasukan pembelaan Najib iaitu firma guaman, Shafee & Co memaklumkan Najib masih belum dibebaskan dari Penjara Kajang untuk menjalani tahanan rumah.
Proses pembebasan Najib untuk menjalani tahanan rumah sedang berlangsung ketika kenyataan AGC dikeluarkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




