Umno harus jadi induk membela semua bangsa, bukan kerajaan untuk satu kaum sahaja

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

PETALING JAYA: Perjuangan Umno bukan tentang menegakkan ketuanan Melayu tetapi lebih untuk menjadikan bangsa itu induk kerajaan yang membela pelbagai kaum.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, mengecilkan retorik kerajaan Melayu-Islam, kerana Umno tidak boleh ketepikan kaum atau penganut agama lain dalam agendanya.

“Di negara ini kita berbilang kaum. Kita perlu ada keterangkuman. Itu penting kerana kita mesti merangkumi semua orang. Tak boleh kata akan tubuh kerajaan Islam-Melayu sahaja. Tetapi kerajaan yang mewakili semua rakyat.

“Tetapi dengan syarat orang Melayu mesti menjadi induknya. Keindukan itu penting kerana majoriti rakyat merupakan orang Melayu dan Islam,” katanya dalam temubual eksklusif FMT.

Mohamad berkata keindukan yang dimaksudkan beliau bukan berbentuk ketuanan bangsa.

“(Ia) bukan konsep ketuanan, tetapi konsep keindukan. (Contohnya) seorang ibu akan menyayangi anak. Sebagai induk dia sayang semua anak,” katanya.

“Begitu juga kerajaan, kita tidak boleh kata kita kerajaan untuk cuma satu kaum sahaja. Kerajaan adalah kerajaan semua orang yang dipilih oleh rakyat. Kita lindungi kepentingan semua dan menjaga kesejahteraan semua.”

Kuat lagi stabil

Dalam pada itu, Mohamad menekankan keperluan membentuk kerajaan yang kuat dan stabil, memandangkan negara terus lembap sejak tiga tahun lalu.

Katanya, negara tidak ke mana dalam 22 bulan Pakatan Harapan memerintah dan dalam setahun pentadbiran Perikatan Nasional.

“Dari segi KDNK, kita dah jatuh belakang Vietnam. Saya takut nanti kita jatuh belakang Kemboja,” katanya.

Mohamad ketawakan dakwaan pelaburan ke Malaysia merosot kerana negara kini lebih selektif sebagai lucu.

“Janganlah menganggap semua orang Malaysia tak cerdik,” katanya, dan menambah Indonesia meraih banyak pelaburan meskipun situasi Covid-19 di sana lebih teruk.

“Kenapa?” katanya.

Mohamad juga berkata dalam masa yang singkat kedudukan Malaysia dalam Laporan Kegembiraan Dunia merosot dari tangga 35 pada 2018 ke 81 pada 2021.

Laporan tajaan PBB itu mengukur kepuasan hati rakyat dengan kehidupan mereka berdasarkan penunjuk ekonomi, politik, dan sosial.

“Kita nak ‘jump start’, kita tiada masa nak ‘organic growth’ dah. Kita mesti kejar.”

Mengulas keperluan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil, Mohamad berkata ini hanya boleh dilakukan sekiranya kerajaan menjaga kepentingan, kebajikan, dan kesejahteraan semua rakyatnya.

Beliau berkata kerajaan yang kuat dan stabil akan memastikan keamanan dan ini akan menarik pelabur.

“Siapa yang nak datang berniaga, melabur di negara yang tidak stabil? Janganlah berselindung di sebalik Covid-19 saja.”

PRU15

Pada pilihan raya akan datang, Mohamad percaya Barisan Nasional tidak perlukan manifesto atau menabur janji-janji ganjil setinggi langit.

“Dalam PRU15 ini, yang penting adalah apa BN nak tawarkan kepada pengundi. Apa yang negara kita perlukan sekarang ialah sebuah negara yang kuat dan stabil. Yang boleh kita tawarkan ialah trek rekod kita,” katanya, dan menambah BN membuktikan ia dapat memberikannya dalam 62 tahun ia memerintah.

Beliau akui akan isu-isu yang menghambat namun ia boleh diperbaiki menerusi “political correctness”, tema yang akan beliau sentuh pada perhimpunan agung Umno pada Sabtu.

Mohamad juga berkata BN perlu berevolusi dan tidak boleh terlalu jumud, mengatakan ia mesti bertanding tanpa perlu membentuk gabungan sebelum pilihan raya.

“Tapi BN mesti memenangi sejumlah kerusi yang banyak supaya kita boleh memilih rakan untuk mentadbir negara.”

Ditanya bagaimana parti itu akan meraih sokongan orang Melayu ketika ia bekerjasama dengan PAS, Mohamad berkata dua parti itu hanya bekerjasama dan tidak bergabung menjadi satu entiti.

Katanya, sekiranya BN menang kerusi paling banyak pada pilihan raya, ia akan menjadi parti paling dominan dalam kerajaan.

Beliau menambah BN mempunyai rekod prestasi dan dasar membuat keputusan secara konsensus.