UMNO kekal bertanding kerusi Parlimen Sri Gading

UMNO kekal bertanding kerusi Parlimen Sri Gading

BATU PAHAT: UMNO Bahagian Sri Gading meluluskan usul supaya kerusi Parlimen Sri Gading kekal ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Ketuanya, Datuk Mohd. Lassim Burhan berkata, usul itu dipersetujui sebulat suara oleh kira-kira 1,000 perwakilan pada mesyuarat bahagian hari ini.

Menurutnya, UMNO mengambil pendirian untuk bertanding di Parlimen Sri Gading kerana ia adalah kerusi tradisi parti tersebut.

ā€œPada mesyuarat peringkat Bahagian, semua perwakilan bersetuju dengan usul terbabit untuk mengekalkan kerusi ini kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

ā€œSeperkara lagi, kita mengambil pendirian untuk bertanding kerana kami bukan parti komponen PH (Pakatan Harapan). Jadi, kita boleh bertanding di mana-mana kerusi yang hendak ditandingi.

ā€œYang kedua, kalau mereka katakan Sri Gading ini kerusi tradisi PH, UMNO sudah sembilan kali menang bertanding dan PH baru dua. Jadi macam mana mereka boleh katakan kerusi tradisi,ā€ katanya ditemui selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Orang Ramai Parit Raja, dekat sini hari ini.

Mohd. Lassim memberitahu, UMNO Sri Gading menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan sama ada bertanding secara solo atau bergabung dengan parti lain pada pilihan raya akan datang.

ā€œTetapi kita UMNO Sri Gading ada 18,000 ahli dan 104 cawangan yang mana mereka menuntut Presiden agar mengekalkan Parlimen Sri Gading kepada kita,ā€ katanya.

Ahmad Zahid dalam ucapan perasmian bersetuju dengan usul dibawa perwakilan UMNO Sri Gading itu dan menyerahkan kepada Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor.

Pada PRU15, Parlimen Sri Gading dimenangi PH menerusi calon Amanah, Aminolhuda Hassan dengan majoriti 4,000 undi, menewaskan Mohd. Lassim dari BN, Zanariyah Abdul Hamid (Perikatan Nasional) dan Mahdzir Ibrahim (Pejuang). – UTUSAN

Scroll to Top